Lara Kasih: Hubungan Fikry Ibrahim dan Chacha Maembong Terancam Akibat Tilikan Nasib?

Drama bersiri Lara Kasih yang ditayangkan di slot Samarinda bakal menghidangkan kisah penuh pergolakan emosi dan konflik keluarga yang menggugah perasaan. Naskhah ini membawa penonton menyelami isu percintaan yang tidak direstui, tekanan daripada ibu yang mengongkong, kesempitan hidup, serta kerakusan manusia dalam mengejar kebahagiaan material.

Kisah ini mengisahkan hubungan antara Syuhadah (lakonan Chacha Maembong) dan Khairil (Fikry Ibrahim) yang mula retak akibat tentangan hebat daripada ibu Syuhadah, Puan Hasnah (Laila Nasir). Puan Hasnah menentang hubungan mereka kerana memandang rendah pekerjaan Khairil sebagai seorang penoreh getah, malah menginginkan anaknya berkahwin dengan Borhan, seorang duda beranak dua yang dianggap lebih mampu menjamin masa depan Syuhadah.

Konflik bertambah tegang apabila Puan Hasnah termakan dengan ramalan Che Yah, seorang tukang tilik nasib, yang mendakwa kehidupan Syuhadah akan lebih mewah jika dia meninggalkan Khairil dan bersama Borhan. Hasutan ini membuatkan Syuhadah terperangkap antara cinta sejatinya dan keinginan ibunya yang bersandarkan ramalan tidak berasas.

Persoalannya, mampukah cinta Khairil dan Syuhadah bertahan dalam situasi yang penuh cabaran ini? Atau adakah hubungan mereka akan terkubur akibat tekanan keluarga dan kepercayaan terhadap ramalan yang tidak masuk akal?

Saksikan Lara Kasih untuk menyaksikan perjalanan emosi dan dilema keluarga yang akan mengajak penonton menilai semula erti cinta dan hubungan keluarga.

Leave a comment