Maksim Mrvica Bawa “Segmenti World Tour” ke Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 6 Disember – Pianis klasik crossover terkenal dunia, Maksim Mrvica, akan kembali ke Kuala Lumpur untuk mempersembahkan sebuah konsert istimewa sempena pra-Hari Valentine.

Konsert bertajuk Maksim World Tour Segmenti anjuran Lo-Fi Entertainment ini akan berlangsung pada 12 Februari 2025 (Rabu), jam 8:30 malam di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Maksim, bersama sebuah orkestra, akan mempersembahkan lagu-lagu daripada album terbarunya, Segmenti. Repertoir ini merangkumi variasi lagu-lagu popular seperti karya ABBA dan Queen, selain karya klasik abadi seperti ciptaan Chopin, Prokofiev, dan Tchaikovsky.

Berasal dari Šibenik, Croatia, Maksim mula belajar piano sejak berusia 9 tahun dan tetap meneruskan latihan muziknya walaupun ketika zaman perang pada usia remaja. Beliau menerima latihan formal di Zagreb Academy of Music, Franz Liszt Academy of Music di Budapest, serta Russian Conservatory Alexander Scriabin di Paris.

Kehebatan Maksim bukan hanya pada latar belakang akademiknya, tetapi juga pada kebolehannya menghasilkan karya-karya inovatif yang membawa beliau ke puncak kejayaan. Antara karya beliau yang paling dikenali termasuk Croatian Rhapsody, selain interpretasi menakjubkan Flight of the Bumblebee serta tema daripada filem Pirates of the Caribbean, Game of Thrones, dan Mission Impossible.

Tiket untuk konsert ini boleh dibeli di laman web www.ticketingtix.com bermula 12 Disember 2024, jam 12 tengah hari. Harga tiket bermula dari RM188 (CAT 4) hingga RM888 (VIP).

Untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini, ikuti Lo-Fi Entertainment di Instagram (@lofi.entertainment) atau Facebook (www.facebook.com/lofi.entertainmentkl).

Leave a comment