Trent Reznor dan Atticus Ross Raih Kemenangan Ketiga di Golden Globe 2025

Trent Reznor dan Atticus Ross telah memenangi kategori Skor Asal Terbaik di Anugerah Golden Globe 2025 menerusi filem Challengers. Mereka berjaya mengatasi pesaing lain seperti bekas vokalis Yuck, Daniel Blumberg (The Brutalist), Hans Zimmer (Dune: Part Two), Volker Bertelmann (Conclave), Kris Bowers (The Wild Robot), serta Camille dan Clément Ducol (Emilia Pérez).

Kemenangan ini menandakan kejayaan ketiga mereka di acara Golden Globe, selepas kemenangan pertama dalam kategori yang sama pada tahun 2010 menerusi The Social Network, dan sekali lagi pada tahun 2020 untuk filem animasi Soul.

Atticus Ross yang mewakili duo komposer ini dalam ucapan kemenangannya berkata “Ini benar-benar bermakna, terutamanya dalam detik istimewa ini. Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada sahabat baik saya, rakan muzik saya, Trent Reznor yang hebat. Muzik ini tidak pernah dirasakan sebagai pilihan yang selamat, tetapi ia sentiasa dirasakan sebagai pilihan yang tepat. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada maestro, pengarah visionari, dan rakan kami, Luca Guadagnino… Sejujurnya, kami selalu fikir kami akan mendapat panggilan yang mengatakan, ‘Bolehkah anda rendahkan sedikit?’ Tetapi itu tidak pernah berlaku, dan di sinilah kami sekarang.”

Walaupun ini merupakan satu-satunya kemenangan mereka pada malam itu, Reznor dan Ross turut dicalonkan dalam kategori Lagu Asal Terbaik menerusi lagu ‘Compress/Repress’ dari filem Challengers. Namun, trofi tersebut dimenangi oleh Camille, Karla Sofía Gascón, dan Zoe Saldaña untuk lagu ‘El Mal’ yang dihasilkan untuk filem Emilia Pérez.

Sebelum ini juga Trent dan Atticus menang anugerah Oscar selepas kemenangan Golden Globe, jadi kita lihat jika mereka bakal menang anugerah Oscar ketiga pada malam 3 Mac ini.

Leave a comment