KUALA LUMPUR, 11 Februari – Hanya tinggal 1 hari saja lagi, peminat muzik di Kuala Lumpur bakal disajikan dengan persembahan memukau daripada pemain piano virtuoso terkenal, Maksim Mrvica. Acara ini, yang merupakan sebahagian daripada siri jelajah terkini beliau, akan berlangsung di Mega Star Arena, KL, pada 12 Februari jam 8.30 malam.


Maksim, yang terkenal dengan kemahirannya dalam genre ‘classical crossover’, akan beraksi bersama orkestra, membawa repertoir daripada album terbarunya, “Segmenti”. Penonton bakal menikmati gubahan asal serta variasi lagu popular seperti hit ABBA dan Queen, di samping karya agung klasik daripada Chopin, Prokofiev, dan Tchaikovsky.
Pemain piano berbakat ini, yang berasal dari Šibenik, Croatia, memulakan pembelajaran muzik pada usia sembilan tahun, walaupun melalui zaman sukar ketika perang. Maksim telah menerima latihan di institusi muzik terkemuka seperti Akademi Muzik Zagreb, Akademi Muzik Franz Liszt di Budapest, dan Konservatori Rusia Alexander Scriabin di Paris.

Karya-karya terkenal beliau termasuk “Croatian Rhapsody”, rendisi “Flight of the Bumblebee”, serta tema-tema daripada filem seperti “Pirates of the Caribbean”, “Game of Thrones”, dan “Mission Impossible”. Selain itu, Maksim turut terkenal dengan kebolehannya memainkan 16 nota dalam sesaat, satu pencapaian luar biasa dalam dunia muzik.
Tiket untuk persembahan ini masih boleh didapati melalui www.ticketingtix.com dengan harga RM888 (VIP), RM688 (CAT 1), RM488 (CAT 2), RM288 (CAT 3), dan RM188 (CAT 4).
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan kelincahan dan kehebatan Maksim hanya 1 hari lagi! Untuk maklumat lanjut, ikuti Lo-Fi Entertainment di Instagram (www.instagram.com/lofi.entertainment) dan Facebook (www.facebook.com/lofi.entertainmentkl).
