Ulasan Konsert MAKSIM ”SEGMENTI WORLD TOUR” IN KUALA LUMPUR

Penulis ingat lagi ketika Maksim Mrvica muncul di arena muzik arus perdana dengan album The Piano Player pada tahun 2003 dan persembahan sulung beliau di Kuala Lumpur pada tahun 2004. Rakan penulis memanggilnya ‘lipas kudung’ kerana kelajuan jari-jemarinya memainkan setiap nota pada rendisi terbaru Flight of the Bumblebee karya Nikolai Rimsky-Korsakov tetapi diberi bunyian yang lebih terkini dengan gabungan elektronik genre tekno, serta penampilan Maksim yang lebih sempoi dengan jeans dan kemeja-T, lebih dekat dengan golongan marhaen yang melayan muzik t.A.T.u., duo pop dari Russia yang juga popular ketika itu, berbanding dengan penampilan pemuzik klasikal sebelum ini yang lebih formal dengan memakai sut. Muzik klasikal ini muzik golongan kayanganlah kita boleh panggil satu masa dulu. Maksim seolah-olah memecah tembok rigid ini.

Dua puluh tahun kemudian, barulah penulis dapat menyaksikan Maksim pertama kali di depan mata, bersempena konsert yang berlangsung pada 12 Februari 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, dan ia adalah sebuah pengalaman yang sukar dilupakan. Dihiasi dengan persembahan hebat daripada Maksim yang diiringi oleh band iringannya yang dibawa khas dari Eropah seramai 10 orang, konsert ini menawarkan gabungan muzik klasik dan elemen-elemen moden yang memukau. Dengan sistem bunyi terkini, reka bentuk pentas yang mempesona, dan penggunaan piano yang dianggap sebagai antara yang paling mewah di dunia, suasana konsert ini benar-benar membawa penonton ke tahap yang lebih tinggi.

Dari segi persembahan, Maksim menyajikan gabungan karya asli, karya-karya rendisi semula yang mempopularkan namanya dan variasi daripada album terbarunya Segmenti. Pemain piano kelahiran Croatia ini tidak hanya bermain dengan kehebatan teknik, malah dia juga berjaya mencipta suasana yang dinamik dan penuh emosi. Penonton berpeluang melihat secara langsung pergerakan jarinya yang kompleks melalui tayangan skrin besar, memberikan mereka kesempatan untuk lebih memahami seni muzik yang dipersembahkannya.

Konset yang bermula jam 8:30 malam itu dimulakan dengan “New World Concerto” yang membawa penonton ke dunia yang baru dengan alunan piano yang mengagumkan, diikuti “Glorietta” yang mempamerkan kelembutan dan kemanisan melodi klasik yang berpadu dengan elemen moden. Lagu “The Show Must Go On” asal dari band legenda Queen pula memberi tenaga yang tinggi, membangkitkan semangat penonton untuk terus terpesona dengan setiap nota yang dimainkan. Sementara itu, “Exodus” menampilkan kemahiran Maksim dalam mencipta suasana dramatis, dengan perubahan tempo yang tajam, memberi kejutan yang memukau di setiap detik.

Persembahan diteruskan dengan “Chopin Prelude” dan “Prokofiev Fantasy” memperlihatkan keindahan teknik pianonya yang luar biasa. Lagu “Victory” pula memberi impak yang kuat dengan irama yang penuh semangat, mencipta satu aura kemenangan yang meluap-luap.

“In The Hall of The Mountain King” menghadirkan ingatan penulis pada runut bunyi filem The Social Network yang pernah dibawakan oleh Trent Reznor. Seterusnya, lagu-lagu popular seperti “Clocks” dari Coldplay, “New Silk Road”, “Game of Thrones”, dan “Pirates of the Caribbean” menunjukkan betapa beraninya Maksim untuk mengolah lagu-lagu yang terkenal dalam gaya klasik yang penuh daya tarikan. Perasaan seperti menonton gabungan antara muzik klasik dan pop-rock yang mendalam memberi sensasi yang luar biasa kepada setiap penonton.

Tidak lupa, lagu “Dancing Queen” dari ABBA turut hadir sebagai satu medley yang menyeronokkan, mengundang penonton untuk turut berdansa (seharusnya walaupun dewan konsert diletakkan kerusi) dengan irama yang ceria. Sebagai encore , Maksim memukau penonton dengan “Corrida”, yang membawa konsert ini ke puncaknya, dengan alunan muzik yang penuh dramatis dan bertenaga. Konsert berakhir tepat jam 10 malam.

Seperkara yang menarik perhatian penulis ialah band yang mengiringi Maksim terdiri daripada wanita-wanita berbakat yang memainkan alat muzik string, menambah elemen melodi yang menawan, mengingatkan penulis akan band-band symphonic metal seperti Apocalyptica atau Epica. Gabungan muzik klasik dengan elemen rock memberi sensasi yang luar biasa kepada penulis dan harapnya penganjur mungkin mengambil kira jika Apocalyptica boleh dibawa ke Malaysia.

Secara keseluruhannya, Segmenti World Tour di Kuala Lumpur adalah sebuah konsert yang benar-benar memukau. Dengan gabungan muzik, visual, dan teknik yang luar biasa, ia menjanjikan kenangan yang akan kekal lama dalam ingatan setiap penonton. Terima kasih kepada pihak penganjur, Lo Fi Entertainment di atas kesudian mengundang penulis menyaksikan konsert ini yang jarang-jarang berlaku. Harap ini bukan kunjungan Maksim yang terakhir.

Leave a comment