Ulasan Running Man “Run 2 U” Live di Kuala Lumpur: Petang Yang Penuh Hilai Tawa dan Kekacauan!

Penulis berpeluang pertama kali menyaksikan persembahan Running Man secara langsung di Kuala Lumpur, dan ia adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan dari awal hingga akhir. Program hiburan popular dari Korea Selatan ini dibawa ke Malaysia dengan banner RUNNING MAN “RUN 2 U” LIVE IN KUALA LUMPUR pada Sabtu lalu, 15 Februari di The Mines International Exhibition and Convention Centre dan sebagai peminat tegar rancangan ini, penulis tahu ini adalah peluang yang tidak boleh dilepaskan.

Acara ini menampilkan enam ahli Running Man yang kekal hari ini —Jee Seok Jin, Yu Jae Seok, Kim Jong Kook, HAHA, Song Ji Hyo, dan Yang Se Chan—yang memberikan persembahan petang yang penuh dengan keseronokan, keriuhan, dan hiburan. Saat mereka melangkah ke atas pentas iaitu jam 5 petang, tenaga di dalam dewan begitu mengujakan. Persembahan dibuka dengan kejutan penuh emosi apabila ahli-ahli Running Man menyanyikan lagu BTS “Spring Day”. Bagi ramai peminat, termasuk penulis, ianya saat yang begitu menyentuh hati. Melihat idola yang kami tonton di televisyen menyanyikan lagu ikonik ini di hadapan kami adalah satu pengalaman yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Seterusnya, acara ini dipenuhi dengan pelbagai segmen permainan interaktif yang mengundang gelak tawa penonton, seperti permainan “Who is Potman” dan “Cosplay Running Man”. Dua peminat bertuah dipilih untuk bersaing dengan Jong-kook di atas pentas, dan mereka berpeluang berswafoto bersama seluruh ahli Running Man.

Kemeriahan semakin terasa apabila ahli-ahli Running Man sendiri menyertai pertandingan cosplay dengan mengenakan kostum yang unik, membuatkan penonton ketawa satu dewan. Para peminat yang berada di barisan hadapan dekat dengan barricade berpeluang terlibat secara tak langsung dalam permainan cosplay ini. Dalam permainan inj, setiap ahli diminta untuk memakai kostum misteri yang disediakan oleh produksi dan menyelesaikan tugasan tertentu, seperti mengambil swafoto dengan penonton atau memberi cenderahati tandatangan. Penonton bersorak dan ketawa melihat aksi kelakar ahli-ahli Running Man.

Namun, yang paling memberi kesan adalah persembahan muzikal secara solo dan duet yang sangat menghiburkan, seperti apabila Kim Jong-kook menyanyikan lagu balada “One Man”, dan penonton langsung tidak dapat menahan diri daripada turut menyanyi bersama. Tidak ketinggalan, segmen muzikal turut diserikan dengan persembahan cover lagu, termasuk “Bohemian Rhapsody” oleh Yang Se-chan yang beraksi seperti sebagai Freddie Mercury, dan persembahan merdu dari Song Ji-hyo yang menyanyikan lagu “Bam Yang Gang”. Antara saat yang paling mengujakan ialah duet Ji-hyo dan Jong-kook dengan lagu “We Need to Talk”, di mana momen mesra dan penuh romantis di antara mereka di atas pentas menambahkan lagi kehangatan suasana menyebabkan peminat berasa teruja dengan keserasian mereka.

Namun, puncak acara yang paling ditunggu-tunggu sudah tentu apabila Kim Jong Kook menyanyikan lagu ikoniknya, “Loveable (Sarang Surowo)”. Seluruh dewan bergema dengan sorakan, dan peminat turut menyanyikan lagu tersebut bersama-sama, mencipta suasana yang begitu magis.

Sebagai penutup, peminat Malaysia telah menyediakan video khas untuk Running Man, diikuti dengan kejutan hari jadi untuk Jee Seok Jin. Peminat juga terhibur dengan gurauan mereka yang mengusik Seok Jin, kononnya dia menyambut hari jadi ke-60, yang membuatkan beliau tersipu malu namun turut ketawa bersama. Gandingan ahli-ahli Running Man di atas pentas benar-benar menghangatkan suasana dan mengingatkan kita mengapa Running Man masih begitu diminati selama lebih satu dekad.

Sebenarnya, acara Running Man Run 2 U yang berlangsung selama tiga jam petang itu terasa cepat berlalu. Memang kami tak rasa pernah cukup dan mungkin Running Man kena datang sekali lagi dalam masa terdekat. Tetapi ia tetap satu petang yang penuh dengan nostalgia, ketawa, dan kegembiraan—semuanya yang telah dibawa oleh Running Man ke dalam hidup para peminatnya. Terima kasih Running Man kerana datang ke Kuala Lumpur. Dan terima kasih buat penganjur Sunstrong Entertainment kerana usaha mereka membawakan Running Man secara live buat para peminat di Malaysia.

Leave a comment