Alamanda Putrajaya Melangkah Ke Era Baru Dengan Transformasi RM100 Juta

Putrajaya, 23 Februari 2025 – Alamanda Shopping Centre melakar sejarah baharu apabila merasmikan penjenamaan semula pusat beli-belah ikonik itu menerusi projek transformasi bernilai RM100 juta, hasil pelaburan Putrajaya Holdings Sdn. Bhd. Majlis pelancaran disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus mengiktiraf peranan Alamanda sebagai nadi gaya hidup dan runcit utama di Putrajaya.

Sebagai sebahagian daripada pembaharuan ini, Alamanda memperkenalkan Escape Putrajaya – taman riadah luar seluas 151,548 kaki persegi hasil kerjasama dengan Sim Leisure Group Ltd. Tarikan ini menawarkan pengalaman berasaskan alam dan pengembaraan untuk seisi keluarga. Selain itu, kemudahan hiburan turut diperkasakan dengan pawagam 10 dewan TGV Cinemas dan pusat boling U-Bowl X yang diperluas dengan 26 lorong permainan.

Penambahan ruang niaga sebanyak 27 peratus turut memperkenalkan 29 penyewa baharu, memberikan pengalaman membeli-belah dan riadah yang lebih segar dan sesuai dengan demografi moden Putrajaya. Ruang dalaman Alamanda kini tampil lebih elegan dengan lantai marmar, susur tangan keluli tahan karat, dan balustrad kaca. Di luar bangunan, landskap hijau seluas 60,000 kaki persegi menampilkan tanaman tempatan dan dek mesra alam yang menghadap tasik.

Menariknya, kawasan Esplanade kini dilengkapi kipas HVLS bagi keselesaan pengunjung yang menjamu selera sambil menikmati suasana Escape Putrajaya. Pengurusan lalu lintas parkir juga ditambah baik bagi memastikan kelancaran kunjungan.

Sempena pelancaran semula ini, pertandingan Mewarna ASEAN dan Kejohanan Catur Pantas Alamanda dianjurkan bagi meraikan penyertaan pelajar dan mengukuhkan jalinan komuniti.

Dalam ucapan pelancaran, CEO Putrajaya Holdings, Dato’ Ir. Ts. Izwan Hasli Mohd Ibrahim menyifatkan penjenamaan semula ini sebagai langkah tepat ke arah pembangunan yang lebih bermakna dan lestari buat warga Putrajaya dan sekitarnya. Manakala CEO Suria KLCC Sdn. Bhd., Francis Tan, menekankan peranan Alamanda sebagai mercu tanda komuniti yang menggabungkan gaya hidup moden dengan nilai kebersamaan.

Sebagai inisiatif mesra alam, Alamanda turut memperkenalkan e-Baucar sebagai alternatif kepada baucar fizikal. Selain itu, kempen kesedaran kesihatan mental diteruskan melalui jualan Green Ribbon Pin, yang hasilnya disumbangkan kepada NGO berkaitan.

Maklumat lanjut boleh didapati di www.alamanda.com.my atau Facebook rasmi Alamanda.

Leave a comment