Eirma Fatima Sedia Terima Kecaman, Paparkan Isu Yang Tiada Siapa Berani Sentuh!
Sejak mula disiarkan pada 28 Februari lalu, drama Keluarga Itu telah mencuri perhatian ramai, terutama di media sosial. Walaupun baru tiga episod ditayangkan, reaksi penonton yang pelbagai seperti rasa sakit hati, kecewa, jijik, keliru, malah ada yang mengalaminya secara berlebihan (overthinking), menunjukkan impak besar drama ini. Keluarga Itu mengangkat tema berat dan penuh sensitiviti, yang cuba membongkar realiti masyarakat yang mungkin sukar diterima ramai.

Menurut pengarahnya, Eirma Fatima, drama ini bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah cerminan kehidupan yang mengundang renungan dan pedoman. “Keluarga Itu bukan Perempuan Itu, bukan juga Lelaki Itu,” jelas Eirma Fatima, yang dengan berani memilih untuk tidak mengitar semula naratif lama. “Saya mahu paparkan sakitnya, tenatnya masyarakat di luar sana, realiti yang tak pernah masuk dalam mana-mana drama serta isu yang tak ada siapa berani sentuh. Kerana hakikatnya, kadang-kadang, di dalam rumah sendiri pun belum tentu kita benar-benar selamat,” tambahnya lagi.
Drama ini menampilkan pelakon-pelakon hebat seperti Datuk Rosyam Nor, Datin Seri Umie Aida, Fattah Amin, Muaz Zabir, Puteri Balqis, Amir Ahnaf, dan Izara Aishah. Adegan-adegan yang ditonjolkan dalam drama ini bukan sekadar bertujuan untuk mengejutkan penonton, tetapi lebih kepada refleksi kehidupan nyata yang semakin mencabar dan penuh tragedi. Setiap episod mengungkapkan isu-isu kehidupan yang begitu dekat dengan masyarakat, seperti kesetiaan yang diuji, kepercayaan yang terlalu naif, kebebasan yang didambakan, dan hasad dengki yang meracun dalam diam.

“Penonton hari ini semakin bijak memilih karya, jadi saya perlu keluar dari zon selesa. Saya mahu mencabar diri, menjadi trendsetter, bukan follower. Saya tahu risiko yang saya ambil dan saya sudah bersedia andai Keluarga Itu dikecam atau mencetuskan kontroversi. Tidak mengapa, kerana saya tahu kisah ini perlu diceritakan,” ujar Eirma lagi.
Drama Keluarga Itu ditayangkan setiap Jumaat hingga Ahad, jam 9.00 malam di TV3. Penonton juga boleh menonton drama ini lebih awal dengan strim 24 jam di http://www.tonton.com.my atau memuat turun aplikasi Tonton di Google Play atau App Store.
Untuk maklumat terkini mengenai drama ini, ikuti laman sosial Facebook, Twitter, YouTube, dan Instagram TV3 di @TV3Malaysia serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.
