KUALA LUMPUR – Dato’ M. Nasir, seorang ikon seni tanah air, sekali lagi mencatat sejarah dalam dunia muzik dengan menganjurkan konsert mega yang mengangkat tema lagu-lagu raya. Konsert yang diberi nama Cipta Raya ini bakal berlangsung pada 13 April 2025 di Zepp KL.
Sebagai seorang yang terkenal dengan karya-karya dalam pelbagai genre seperti balada, pop, rock, dan patriotisme, M. Nasir tidak asing lagi dalam dunia seni. Sejak beberapa tahun lalu, peminat masih tidak dapat melupakan keindahan dua siri Konsert CIPTA 1 & 2 yang pernah diadakan. Kini, sifu seni berusia 67 tahun ini kembali dengan sesuatu yang baru dan pasti mengujakan ramai.

Apa yang lebih menarik, Cipta Raya merupakan konsert pertama yang dianjurkan dengan tema lagu raya, sebuah konsep yang belum pernah dilakukan secara mega sepanjang karier M. Nasir. Konsert ini dianjurkan oleh Icon Entertainment dan dilihat sebagai spin-off daripada konsert Cipta 2 yang berakhir dengan lagu popular Satu Hari Di Hari Raya, yang mencetuskan tular di kalangan peminat pada tahun lalu.
Menurut Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, idea untuk mengadakan Cipta Raya timbul selepas melihat sambutan hangat terhadap lagu raya M. Nasir. Beliau berkata, “Cipta Raya adalah sebuah spin-off daripada konsert Cipta 2 yang diakhiri dengan lagu raya. Kami rasa ini adalah masa yang tepat untuk mengangkat karya raya M. Nasir, yang bukan sahaja dicipta oleh beliau tetapi turut menjadi lagu kegemaran ramai.”
Konsert Cipta Raya dijangka akan menyajikan sekitar 20 buah lagu, di mana 17 daripadanya merupakan karya hari raya. M. Nasir akan mendendangkan lagu-lagu raya yang bukan sahaja hasil ciptaannya, tetapi juga lagu raya nyanyian penyanyi lain yang disukai beliau. Peminat dapat menantikan lagu-lagu kegemaran M. Nasir yang akan dipersembahkan secara eksklusif pada malam tersebut.

Bagi mereka yang membeli tiket untuk konsert ini, mereka bukan sahaja berpeluang menyaksikan persembahan, tetapi juga menikmati juadah raya sebelum konsert bermula. Ini memberi peluang kepada peminat untuk merasai suasana rumah terbuka sambil menikmati hidangan tradisional seperti sate, ketupat, rendang, lemang dan banyak lagi, sebelum bersuka ria menyanyi bersama Dato’ M. Nasir di pentas.
Menurut M. Nasir, “Cipta Raya adalah sebuah konsert yang sangat istimewa dan perlu diraikan seperti hari raya, hari kemenangan kita semua.” Konsert ini bukan sahaja menyemarakkan semangat Aidilfitri, tetapi juga memberi makna lebih mendalam kepada peminat yang ingin merayakan hari istimewa ini bersama beliau.
Tiket untuk konsert Cipta Raya boleh didapati di laman web http://www.ticket2u.com.my mulai 5 Mac 2025, dengan beberapa kategori tiket yang ditawarkan, termasuk tiket VIP Box dengan harga RM10,000. Pembeli tiket juga akan menerima sampul duit raya sebagai kenang-kenangan istimewa.


Butiran Konsert:
- Tarikh: 13 April 2025 (Ahad)
- Masa: 8:00 malam
- Tempat: Zepp Kuala Lumpur
- Tiket: Boleh dibeli di www.ticket2u.com.my mulai 5 Mac 2025
Jangan lepaskan peluang untuk merasai kemeriahan konsert Cipta Raya ini dan sambut Aidilfitri dengan penuh kegembiraan bersama Dato’ M. Nasir!
