Alamanda Semarak Ramadan Bersama Anak-Anak YAYAKEM

Putrajaya, 20 Mac 2025 – Dalam semangat Ramadan dan Syawal yang bakal tiba, Pusat Beli-Belah Alamanda meneruskan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menjemput 41 orang anak dari Yayasan Anak Yatim dan Kebajikan Murid Islam Semenyih (YAYAKEM) bagi menyertai sambutan istimewa yang penuh makna.

Anak-anak berusia antara 9 hingga 12 tahun itu diberi peluang memilih sendiri pakaian dan kasut baharu Raya tajaan rakan runcit, termasuk Bata. Mereka turut menerima sumbangan duit raya daripada pihak pengurusan Alamanda dan penyewa premis, TUCZ. Acara diteruskan dengan majlis berbuka puasa istimewa bersama pihak media, tetamu kenamaan dan pengurusan pusat beli-belah tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Francis Tan berkata, inisiatif seperti ini mencerminkan semangat kebersamaan dan kasih sayang komuniti yang sentiasa dipupuk oleh Alamanda, demi menggembirakan golongan kurang berkemampuan agar mereka turut merasai kemeriahan Ramadan dan Syawal.

Naib Yang Dipertua YAYAKEM, Encik Muhammad Hanafi Bin Jalalludin turut merakamkan penghargaan kepada Alamanda atas sambutan yang diraikan dengan penuh ceria tahun ini.

Bersempena kempen Hari Raya 2025, Alamanda menampilkan dekorasi bertemakan Maghribi di Centre Court dengan padanan rona biru diraja dan emas. Pelbagai persembahan hujung minggu seperti tarian Zapin dan tarian Arab turut disajikan, di samping bengkel lukisan kaca Maghribi eksklusif untuk ahli VIKids.

Sebagai ganjaran, pembeli yang berbelanja RM700 dan ke atas akan menerima set sampul raya dan balang kuih kaca, manakala pembelian RM1,500 dan ke atas akan menerima tambahan e-baucar Alamanda bernilai RM50. Kempen ini turut menyokong kesedaran kesihatan mental melalui jualan Pin Reben Hijau sepanjang tempoh promosi.

Maklumat lanjut boleh didapati di www.alamanda.com.my atau www.facebook.com/AlamandaShoppingCentre.

Leave a comment