M. Nasir Memilih Kopi Wonda (Anda Tak Silap Baca!)

ZUS mainkan perasaan anda bila letak “M. Nasir” di papan iklan lebuhraya, sekali Wonda keluar papan iklan mereka, betul-betul M. Nasir dia bagi.

Tak cukup dengan itu, Wonda bagi panas lagi dengan ayat “Kopi Wanda kegemaran M Nasir. Pilihan sebenar Lagenda Muzik Malaysia” siap dengan tandatangan beliau sambil mempromosi konsert Cipta 3 yang bakal diumumkan kelak, sekaligus mematikan hujah syarikat kopi lain yang terpaksa gunakan selebriti legenda yang lain untuk menjual kopi.

Kalau anda banyak masa di ruang media sosial, pasti perasan dengan hantaran viral penyanyi legenda M Nasir yang muncul dalam papan iklan Wonda Coffee. Iklan ini kalau diperhatikan ialah respon jenaka terhadap papan iklan ZUS Coffee yang sebelumnya menampilkan individu mirip M Nasir, namun sebenarnya hanyalah seorang guru matematik dari Kedah yang gemar berkaraoke. Sebab kita tahu, hanya ada seorang M. Nasir saja. Sifu M. Nasir (cikgu juga buat ramai artis rakaman tempatan). Macam juga P. Ramlee. Nama yang sudah jadi satu jenama. Reaksi netizen? Dah tentulah mereka menyebelahi kopi pilihan legenda muzik yang sebenar.

Jika menilai cara pemasaran ZUS dengan menggunakan nama “M. Nasir”, cara begini pernah digunakan oleh Sureal, satu jenama bijirin sarapan dari UK yang menggunakan nama-nama selebriti seperti Dwayne Johnson, Serena Williams, Ronaldo dan Michael Jordan tetapi ia bukan selebriti yang sebenar. Iklan begini nakal jugalah tetapi boleh menarik perhatian ramai di media sosial.

Iklan versi Wonda Coffee sebagai jawapan kepada iklan ZUS pula ringkas dan bersahaja, tak perlu gimik tetapi Wonda Coffee berjaya menarik perhatian ramai, membuktikan bahawa idea tajam boleh mencuri tumpuan tanpa perlu sorakan besar. Yang lebih penting mereka menghargai M. Nasir dengan meletakkan legenda muzik yang sebenar  itu dalam iklan mereka yang sehingga kini masih lagi relevan, segar dari persembahan konsert Cipta Raya minggu lalu yang laris dan membuka lembaran baru akan sebuah konsert bertema raya yang harus diangkat sebagai budaya. Wonda Coffee, jenama di bawah Etika Sdn Bhd ini sekali lagi membuktikan kemahiran mereka dalam memikat hati pengguna melalui pemasaran berani dan menghiburkan selepas kempen filem Keluang Man (yang masih lagi berjalan, segar dari pelancaran trailer filemnya kelmarin).

Strategi comparative advertising ZUS vs Wonda ini jarang-jarang kita jumpa di Malaysia tapi bagi jenama antarabangsa, ia sering berlaku seperti Pepsi vs Coca Cola, Apple vs Microsoft, atau Burger King vs McDonalds. Mereka bersaing tapi usik-usik manja melalui iklan mereka. Dan kita sebagai pengguna jadi seronok pula melayan.

Sama ada disengajakan atau tidak, satu perkara jelas – yang sebenar hanya satu, dan M Nasir memilih Wonda.

P/s: Kalau nak minum kopi Wonda sambil dengar M. Nasir, disarankan dengar lagu Secangkir Kopi Semanis Puan dari album klasik M. Nasir, Canggung Mendonan. 

Leave a comment