Akademi Vokasional McDonald’s Perkasa TVET, Ubah Masa Depan Belia Malaysia

Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia terus memperkasa agenda TVET negara dengan melahirkan lebih 5,000 belia berkemahiran sejak tujuh tahun lalu. Pada Majlis Konvokesyen ke-5 yang berlangsung di IDCC Shah Alam, lebih 1,000 graduan menerima Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM). Majlis ini disempurnakan oleh YB Datuk Hajah Rubiah Wang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, mewakili YAB Dato’ Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Program Perantis Vokasional McDonald’s yang dibangunkan bersama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) ini menggabungkan 70 peratus latihan praktikal dan 30 peratus teori, dengan tumpuan kepada lepasan Tingkatan 3. Ia membuktikan McDonald’s bukan sekadar menawarkan pekerjaan, tetapi juga peluang pembelajaran sepanjang hayat.

Sejak ditubuhkan, akademi ini membelanjakan kira-kira RM40,000 bagi setiap perantis, termasuk elaun, penginapan, makan minum serta perlindungan insurans, tanpa sebarang ikatan kontrak selepas tamat program. Ramai daripada peserta terdiri daripada golongan B40, asnaf, OKU dan Orang Asli yang kini berjaya membina kerjaya sehingga ke peringkat pengurusan.

Selain itu, McDonald’s turut menubuhkan Hamburger U serta menjalin kerjasama dengan universiti tempatan melalui pelbagai program pembangunan bakat, termasuk pengajian 3U1i yang menjamin peluang kerjaya selepas tamat pengajian.

Langkah ini menegaskan komitmen McDonald’s Malaysia untuk bukan sahaja melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, tetapi juga meningkatkan taraf sosioekonomi belia serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Leave a comment