XPDC Metalkestra Bakal Gegar Zepp Kuala Lumpur 8 November Ini

Kuala Lumpur – Selepas lebih empat dekad bertapak dalam dunia muzik tempatan, kumpulan rock legenda XPDC bakal kembali dengan konsert berskala besar berjudul XPDC Metalkestra, yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 8 November 2025.

Dianjurkan oleh Republic Mokhmah Records, konsert ini dijangka menjadi antara persembahan paling bersejarah XPDC selepas kejayaan konsert besar mereka terdahulu seperti Raksasa XPDC Brutal di Stadium Negara dan Shah Alam pada tahun 1998.

Menampilkan barisan asal XPDC — Izo, Eddie, Arif, Lola dan Mamu — konsert ini bakal mempersembahkan gabungan unik antara muzik heavy metal dan orkestra, sekaligus membawa dimensi baharu kepada lagu-lagu klasik mereka.

Menurut wakil Republic Mokhmah Records, Encik Musa, penganjuran konsert ini menjadi bukti bahawa muzik rock tempatan masih mempunyai tempat yang kukuh dan terus relevan dalam era moden.

“Republic Mokhmah Records amat berbesar hati membawakan konsert ini sebagai penghormatan kepada legasi XPDC. Tema ‘Metalkestra’ menggambarkan keberanian XPDC untuk bereksperimen dengan elemen orkestra tanpa meninggalkan identiti asal mereka. Kami percaya konsert ini bukan sahaja untuk peminat lama, tetapi juga akan menarik minat generasi baharu yang mengenali XPDC melalui media sosial,” ujar beliau.

Sementara itu, gitaris utama XPDC, Izo, menyifatkan XPDC Metalkestra sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan peminat yang tidak pernah pudar sejak era 1980-an.

“Konsert ini adalah hadiah buat semua penyokong XPDC. Gabungan metal dan orkestra akan memberikan pengalaman yang luar biasa untuk lagu-lagu yang dekat di hati peminat seperti Nafisa, Apa Nak Di Kata, Hidup Bersama, Hijau Bumi Tuhan dan CT Cinta Kenangan Silam,” katanya.

Selain barisan lagu ikonik hasil karya Allahyarham JS Kevin, konsert ini turut menjanjikan produksi pentas yang lebih besar, sistem bunyi moden dan persembahan visual yang mengangkat semangat “samurai rock” XPDC.

Tiket mula dijual pada 30 Julai 2025 jam 5 petang melalui iLasso Tickets dengan kategori seperti berikut:

  • RM138 (Cat 2 – Darjah Satu / Free Standing)
  • RM168 (Cat 1 – Kita Peng-yu / Front Row Standing)
  • RM198 (Cat 4 – Samurai / Numbered Seating)
  • RM338 (Cat 3 – Brutal / VIP Numbered Seating, termasuk t-shirt dan poster)
  • RM5,008 (Royal Box – 10 pax, termasuk sesi Meet & Greet dan goodie bag eksklusif)

Menariknya, dua peminat dengan kostum samurai terbaik akan menerima hadiah istimewa, manakala tiga gitar Jackson Izo Signature turut ditawarkan untuk cabutan bertuah pada malam konsert.

Dengan semangat dan tenaga yang tidak pernah luntur, XPDC Metalkestra bakal menjadi medan pertemuan antara generasi lama dan baharu dalam satu semangat muzik rock yang abadi.

XPDC Metalkestra
Lokasi: Zepp Kuala Lumpur
Tarikh: 8 November 2025
Penganjur: Republic Mokhmah Records

Pembelian tiket di https://shop.ilassotickets.com.my/eventdetails.aspx?eid=DoywWE08zQM=

Leave a comment