TOMICA Buka Kedai Jenama Pertama Asia Tenggara di Kuala Lumpur

Jenama kereta mini diecast terkenal dari Jepun, TOMICA, mencatat sejarah baru apabila melancarkan TOMICA BRAND STORE pertamanya di Asia Tenggara di Kuala Lumpur, pada 18 Disember 2025. Pembukaan ini menjadikan Malaysia sebagai destinasi ketiga TOMICA BRAND STORE di luar Jepun selepas Shanghai dan Beijing, sekali gus mengukuhkan kehadiran jenama tersebut di rantau Asia.

Maskot TOMICA, T-Kun dan maskot Toys“R”Us, Geoffrey the Giraffe, bergambar bersama wakil jenama serta peminat dan kolektor TOMICA.

Kedai ini terletak di dalam Toys“R”Us IP Flagship Collection Store, Suria KLCC, dan dibangunkan menerusi kerjasama strategik antara TOMY Company, Ltd. dan Toys“R”Us Asia. Menggunakan konsep kedai-dalam-kedai, TOMICA BRAND STORE bukan sahaja menawarkan pengalaman membeli-belah, malah berfungsi sebagai pusat maklumat dan interaksi untuk peminat TOMICA dari pelbagai peringkat umur.

Direka sebagai ruang pengalaman jenama, kedai ini membolehkan pengunjung menghayati falsafah TOMICA, “Only The Real Thing Moves (Hanya Yang Sebenar Bergerak)”. Reka bentuk luar kedai menyerupai kotak TOMICA bersaiz besar, manakala bahagian dalam menampilkan elemen ikonik seperti Wheel Table, TOMICA WALL yang mempamerkan lebih 2,000 model kereta mini diecast, TOMICA KIDULTS AREA untuk pengunjung dewasa berjiwa muda, Recommended Corner bagi koleksi terbaharu, serta TOMICA HISTORY AREA yang mengimbau warisan jenama ini sejak penubuhannya.

Maskot TOMICA, T-Kun bersama maskot Toys“R”Us, Geoffrey the Giraffe, bergambar bersama (dari kiri) Tan Ee Chian, Carol Chua, Ochiai Kiyoshi dan Saitoh Katsunori semasa sesi tandatangan.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1970 sebagai siri kereta mini diecast bersaiz poket pertama di Jepun, TOMICA telah menjadi kegemaran merentas generasi. Sehingga Disember 2024, lebih 10,000 model telah dihasilkan dengan jumlah jualan terkumpul melebihi satu bilion unit di seluruh dunia.

Majlis pembukaan diserikan dengan kehadiran wakil utama TOMY dan rakan strategik tempatan, termasuk Saitoh Katsunori, Pengurus Besar Kanan Ketua Bahagian Strategi Asia TOMY Company Ltd; Ochiai Kiyoshi, Pengarah Urusan TOMY ASIA; Hisayama Itaru, Pengurus Pasukan Bahagian TOMICA dari Bahagian Tomica TAKARATOMY; Tan Ee Chian, Pengarah Eksekutif Litt Tak Sdn Bhd selaku pengedar rasmi TOMICA di Malaysia; serta Carol Chua, Pengurus Besar Toys“R”Us (Malaysia) Sdn Bhd.

Menurut Ochiai Kiyoshi, pembukaan kedai ini bertepatan dengan ulang tahun ke-55 TOMICA dan disifatkan sebagai satu langkah penting dalam membawa pengalaman TOMICA lebih dekat dengan peminat di Asia Tenggara. Kedai ini bukan sekadar ruang pameran, sebaliknya sebuah hab pengalaman untuk peminat dan kolektor menikmati dunia TOMICA secara menyeluruh.

Tan Ee Chian pula menyifatkan pembukaan TOMICA BRAND STORE sebagai pencapaian penting selepas empat dekad TOMICA berada di pasaran Malaysia. Kedai ini menyediakan platform khusus untuk menampilkan koleksi menyeluruh, daripada model klasik hingga edisi premium dan terhad, sekali gus menawarkan pengalaman yang lebih mendalam kepada peminat.

Carol Chua menambah, kehadiran TOMICA sebagai jenama utama di IP Flagship Collection Store Suria KLCC melengkapkan konsep kedai tersebut sebagai destinasi pilihan keluarga, peminat dan kolektor, sejajar dengan janji jenama Toys“R”Us, ‘Live Toyful’.

Sempena pelancaran ini, TOMICA BRAND STORE Malaysia turut menawarkan produk eksklusif yang hanya boleh didapati di kedai ini, selain pelbagai barangan asli dari Jepun. Pelbagai aktiviti sampingan seperti hadiah promosi, cenderahati berjenama, aktiviti seni kreatif serta sesi ramah mesra bersama maskot TOMICA, T-KUN, turut diadakan dari 18 hingga 21 Disember 2025.

Untuk maklumat lanjut mengenai TOMICA, layari laman sesawang rasmi di takaratomyasia.com atau ikuti Instagram @tomicaofficial_asia dan @tomica_msia, serta Facebook TomicaMalaysia.

Leave a comment