Sembilu The Reunion Bakal Hidupkan Nostalgia 90-an di Axiata Arena

IDEATELIER mempersembahkan Sembilu: The Reunion Live In Concert, sebuah konsert mega yang menyatukan semula tiga legenda besar tanah air — Dato’ Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain — dalam satu malam penuh nostalgia, emosi dan kenangan era 90-an.

Konsert ini akan berlangsung pada 7 Februari 2026 bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil bermula jam 8.30 malam. Lebih daripada sekadar persembahan muzik, Sembilu: The Reunion direka sebagai pengalaman sinematik yang mengimbau kembali kisah cinta, konflik dan harapan daripada filem ikonik Sembilu menerusi 22 lagu malar segar yang pernah menjadi soundtrack kehidupan ramai.

Dengan sentuhan pengarah muzik Aubrey Suwito, lagu-lagu ini akan diolah semula bersama visual dramatik, pencahayaan sinematik dan elemen ikonik Sembilu, menjadikan pentas Axiata Arena seolah-olah set filem yang membawa penonton kembali ke era kegemilangan 90-an.

Tiket konsert akan mula dijual pada 8 Disember 2025 jam 12 tengah hari menerusi platform Ticket2U dengan harga bermula RM149 hingga RM1,389, merangkumi pelbagai zon bertemakan Sembilu. Pembelian tiket di https://www.ticket2u.com.my/event/47627/sembilu-the-reunion-live-in-concert

Leave a comment