Dua Warga Asing Pesalah Pertama Dikenakan Khidmat Masyarakat Kerana Buang Sampah Kecil

Dua warga asing direkodkan sebagai pesalah pertama dikenakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) bagi kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam, selaras usaha SWCorp memperkukuh penguatkuasaan undang-undang kebersihan negara.

Kes tersebut melibatkan seorang wanita warganegara Indonesia dan seorang lelaki warganegara Bangladesh yang didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas kesalahan membuang puntung rokok dan botol plastik di kawasan awam. Pesalah wanita dijatuhi denda RM500 serta diperintahkan menjalani khidmat masyarakat selama enam jam, manakala kes pesalah lelaki akan disebut semula pada 28 Januari 2026 bagi urusan penterjemah.

Sehingga 22 Januari 2026, sebanyak 418 Notis Pemberitahuan Kesalahan telah dikeluarkan, dengan 103 daripadanya melibatkan warga asing. Dalam masa terdekat, 13 lagi kes termasuk melibatkan warganegara Indonesia, Nepal dan Singapura akan dibawa ke mahkamah. SWCorp menegaskan tindakan ini sebagai mesej jelas kepada semua pihak agar tidak memandang ringan kesalahan kebersihan, dan orang ramai digesa melaporkan sebarang pelanggaran melalui WhatsApp 013-210 7472 atau laman web swcorp.spab.gov.my.

Leave a comment