Menjelang Ramadan, Muslim Pro memperkenalkan inisiatif Ramadan Re:Charge bagi membantu umat Islam mengekalkan amalan keimanan secara konsisten dan bermakna sepanjang bulan mulia. Inisiatif ini menggabungkan alat sokongan ibadah, kandungan reflektif serta pengalaman komuniti yang direka dengan pendekatan realistik dan penuh empati, selari dengan cabaran rutin harian masa kini.



Antara fokus utama ialah pengalaman Al-Quran dalam aplikasi yang dilengkapi sasaran khatam disesuaikan, penanda ayat, bacaan audio dan alat refleksi bagi menyokong penghayatan tanpa tekanan. Sepanjang Ramadan, platform Qalbox yang boleh diakses menerusi aplikasi Muslim Pro turut menampilkan kandungan terpilih berunsur refleksi dan kerohanian. Antaranya termasuk pengembangan kepada kandungan bersiri pendek atau mikro, selari dengan permintaan terhadap format penceritaan ringkas yang lebih sesuai dengan rutin harian.
Bagi pasaran Malaysia, antara yang diketengahkan ialah siri mikro terbitan tempatan Light of Transit serta kandungan reflektif berdurasi panjang seperti The Olive Tree That Remembered yang dibangunkan bersama Restu Foundation. Pendekatan ini mencerminkan usaha Muslim Pro dalam mempelbagaikan penyampaian naratif berteraskan keimanan, dengan keseimbangan antara akses mudah dan pengisian yang lebih mendalam.
Menurut Nafees Khundker, Ketua Pegawai Eksekutif Muslim Pro, inisiatif Ramadan Re:Charge diperkenalkan bagi menggalakkan umat Islam memperbaharui niat dan terus kembali kepada Allah sepanjang bulan Ramadan, tanpa menekankan kesempurnaan tetapi konsistensi dalam ibadah.


Melalui ruang sosial Ummah, pengguna juga boleh menyertai pertandingan perkongsian foto Ramadan peringkat global dengan peluang memenangi hadiah Badal Umrah. Dengan lebih 180 juta muat turun di seluruh dunia dan lebih satu juta pengguna aktif di Malaysia, Muslim Pro terus memperkukuh peranannya sebagai teman digital umat Islam sepanjang Ramadan.
