Penyanyi dari Brunei, Rizal Rasid, kembali dengan single pop terbaharu berjudul ‘Tarikh Luput’ selepas hampir setahun menyepi dari dunia muzik. Lagu ini, yang menampilkan vokal penyanyi berbakat Tish Errda, adalah hasil ciptaan Amzar Razqa, Sabbala, Mekar, dan Tish Errda sendiri, serta diterbitkan oleh Warner Music Malaysia.
Rizal, yang baru pulang dari acara ASEAN-Korea Music Festival 2024 di Busan, Korea Selatan, menjelaskan bahawa single terbarunya ini mengangkat tema ‘expiry date’ dalam perhubungan. Menurut Rizal, lagu ini mengetengahkan nuansa pop urban rancak dengan elemen R&B, sesuatu yang baru bagi dirinya.

“Walaupun saya sudah lama tidak muncul dengan single baru, saya masih aktif menyanyi di majlis-majlis tertutup dan persembahan korporat. Single ini merupakan percubaan pertama saya dalam genre muzik yang berbeza, dengan rentak dansa yang lebih rancak,” ujar Rizal.
Dalam usaha untuk menampilkan sesuatu yang segar, Rizal berkolaborasi dengan Tish Errda, yang dianggapnya mempunyai vokal yang serasi dan unik. “Gabungan kami berdua dari Brunei Darussalam dan Singapura memberikan sentuhan yang istimewa dalam lagu ini,” tambah Rizal.

Muzik video (MV) untuk ‘Tarikh Luput’ mempersembahkan konsep urban dan moden dengan fesyen terkini serta penataan cahaya yang menarik. Rizal berharap lagu ini diterima baik oleh golongan muda di seluruh Asia dan dapat meningkatkan lagi popularitinya di negara-negara seperti Malaysia, Brunei, Singapura, dan Indonesia.
Lagu ‘Tarikh Luput’ boleh dimuat turun melalui iTunes, dijadikan nada dering, dan didengar di aplikasi penstriman seperti Spotify, KKBox, Deezer, Apple Music, serta YouTube Music. MV rasmi boleh ditonton di saluran YouTube Warner Music Malaysia.
