Filem terbaru, Kahar: Kapla High Council, yang merupakan prekuel kepada siri popular Projek: High Council yang diterbitkan pada tahun 2023, dijadualkan akan ditayangkan di pawagam Malaysia pada 28 November 2024.
Penggambaran filem ini telah pun selesai pada 25 Julai lalu dan kini berada dalam fasa suntingan. Penerbit Eksekutif dan Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, berkongsi bahawa filem ini bakal menyemarakkan kembali semangat peminat dengan mengembalikan pelakon-pelakon asal dari siri tersebut.
“Insya-Allah, Kahar: Kapla High Council akan menemui peminat di pawagam seluruh negara pada November nanti. Kami percaya kehadiran semula pelakon asal akan menambah nilai kepada jalan cerita dan mengekalkan konsistensi karakter yang digemari peminat,” ujar Raja Jastina.
Sebagai tambahan, Astro Shaw telah mempersembahkan ‘first look’ iaitu video di sebalik tabir pembikinan filem ini, serta teaser trailer dan poster. Pihak Astro Shaw juga mengumumkan rakan kerjasama rasmi mereka, HM Entertainment dan ZAK Capital.


Terdahulu, Astro Shaw memperkenalkan ‘Lesen High Council’ – pas eksklusif untuk peminat yang ingin terlibat dalam aktiviti bersama barisan pelakon. Dalam fasa pertama, peminat berpeluang menyertai peraduan menjawab 100 soalan di portal Gempak, dengan hampir 2000 penyertaan diterima. 100 pemenang pertama telah diumumkan dan 10 pemenang terpantas akan menyertai acara istimewa perarakan Hari Merdeka pada 31 Ogos nanti. Bagi yang tidak berjaya memenangi Lesen High Council, mereka boleh mendapatkan Lesen High Council Edisi Khas melalui rakan penaja, Tune Talk.
Selain itu, koleksi hoodie eksklusif Kahar: Kapla High Council edisi terhad boleh didapati di Gempak Official Store di Shopee bermula 8 Ogos. Maklumat lanjut mengenai Lesen High Council Edisi Khas boleh didapati di laman web Tune Talk di https://www.tunetalk.com/.
Sinopsis filem ini berlatarkan tahun 2005 mengisahkan Kahar, seorang pelajar tingkatan 4 yang pendiam di Kolej Ungku Deramat (KUDRAT), yang terpaksa berhadapan dengan harapan tinggi bapanya. Tanpa sengaja, Kahar terlibat dalam ‘Pilihanraya’ untuk menjadi Kapla, ketua kepada High Council, yang mengundang pelbagai musuh dari seluruh pelusuk.

Filem ini menampilkan barisan pelakon utama seperti Amir Ahnaf, Aedy Ashraf, Sky Iskandar, Thompson Goh, dan Khenobu, dengan beberapa pelakon popular dari siri Project: High Council turut kembali, termasuk Fadhli Masoot, Fazziq Muqris, Nadhir Nasar, Naim Daniel, Yusof Hashim (Ucop), Sathisvaran, Hushairy Hussain, Ameer Asyraf dan Hasnul Rahmat. Filem ini akan diarahkan oleh Razaisyam Rashid dengan skrip oleh Anwari Ashraf bersama beberapa penulis lain.
SINOPSIS: Kahar: Kapla High Council mengisahkan perjalanan Kahar dalam menghadapi cabaran sebagai pelajar dan ketua, serta konflik yang timbul daripada keputusan besar yang diambilnya.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan filem ini di pawagam pada 28 November 2024!
