Jobranko dan Yonnyboii Raikan Peminat di Acara Eksklusif Sentuhan Nadi

KUALA LUMPUR – Suasana di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada 3 September 2024 dipenuhi dengan kehangatan apabila dua ikon muzik tempatan, pemain gitar legenda Jobranko dan penyanyi serta komposer terkenal Yonnyboii, mengadakan sesi pertemuan eksklusif bersama peminat dalam acara bertajuk ‘Sentuhan Nadi’.

Seramai 20 peminat bertuah dijemput menghadiri acara ini, yang berlangsung dari jam 3 petang hingga 6 petang. Pertemuan ini memberi peluang kepada para peminat untuk bertemu lebih dekat dengan idola mereka, yang sebelum ini hanya dapat dilihat dari jauh. Mereka turut berpeluang berinteraksi secara peribadi, bertanya soalan, serta mendengar kisah inspirasi di sebalik karya muzik Jobranko dan Yonnyboii.

Acara ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada peminat setia kedua-dua artis yang telah mengikuti perkembangan muzik mereka. Para hadirin yang dipilih adalah pemenang pertandingan ‘cover’ lagu “Nadi” yang berlangsung dari 6 Ogos hingga 28 Ogos lalu. Dalam pertandingan itu, peserta perlu memuat naik versi cover mereka di media sosial dengan tanda pagar #SentuhanNadi dan #NadiSongCover.

Persembahan dan Hadiah Eksklusif

Yonnyboii memukau para peminat dengan mempersembahkan beberapa lagu popularnya, termasuk “Nadi”, yang merupakan hasil kolaborasi dengan Jobranko. Lagu tersebut telah mencuri perhatian ramai dan menjadi antara kemuncak acara hari itu. Selain persembahan Yonnyboii, penonton turut disajikan dengan gabungan tenaga dua generasi, apabila Jobranko tampil di atas pentas bersama-sama.

Acara ‘Sentuhan Nadi’ turut menyaksikan penyampaian hadiah eksklusif berupa gitar yang ditandatangani oleh Jobranko dan Yonnyboii, kepada pemenang pertandingan ‘cover’ terbaik iaitu John Chiew.  Gitar ini merupakan tajaan Music Bliss Malaysia dengan kerjasama ERA, menjadikannya hadiah yang sangat berharga bagi peminat.

Latar Belakang Lagu ‘Nadi’

Lagu “Nadi” dilancarkan pada Jun lalu, menggabungkan sentuhan Jobranko dan Yonnyboii dalam satu karya yang mencerminkan pengalaman hidup kedua-dua artis. Lagu ini telah menerima sambutan hangat di platform penstriman muzik dan video muzik rasmi di YouTube berjaya meraih lebih 211,000 tontonan setakat ini.

Bagi Yonnyboii, lagu ini merupakan karya yang sangat peribadi, dengan lirik yang menyentuh perasaan ramai. Beliau menyatakan bahawa kolaborasi bersama Jobranko telah memberikan dimensi baru kepada lagu tersebut, sekaligus menjadikan ‘Sentuhan Nadi’ sebagai satu acara yang penuh makna untuk peminat mereka.

Acara ini menandakan satu lagi kejayaan dalam perjalanan muzik dua artis tersebut, dan pastinya meninggalkan kenangan indah yang akan diingati oleh para peminat sepanjang hayat.

Leave a comment