BOH Cameronian Arts Awards Ke-21 Raikan Kolaborasi Rentas Disiplin

JKomuniti seni persembahan negara berkumpul di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) bagi meraikan BOH Cameronian Arts Awards (BCAA) ke-21 yang berlangsung dengan tema COLLABeyond: Co-create the Future. Anugerah anjuran BOH Plantations dan Kakiseni itu menekankan kepentingan kolaborasi merentas disiplin, budaya dan teknologi dalam membentuk masa depan seni persembahan Malaysia.

Sebanyak lebih 40 anugerah disampaikan bagi mengiktiraf kecemerlangan dalam bidang tarian, muzik, teater muzikal dan teater. Malam kemuncak menyaksikan Fragments of Tuah oleh Five Arts Centre serta Setanggi Tari Melayu 2025 – Quintessential Malay Dance oleh ASK Dance Company menerima anugerah Terbaik 2025.

Antara penerima anugerah yang mencuri perhatian ialah Nabila Huda yang memenangi Pelakon Pembantu Terbaik menerusi Teater Masmoona, Muzza bagi Persembahan Solo Terbaik – Vokal melalui Symphonic Rock 2.0, manakala Mark Teh meraih anugerah Skrip Asal Terbaik dan Pengarah Terbaik untuk Fragments of Tuah. Produksi Gangsapura pula mendominasi kategori muzik dengan empat kemenangan.

Majlis turut memberi penghormatan kepada Prof. Dr. Mohd Anis Md Nor yang menerima Lifetime Achievement Award atas sumbangan besar beliau dalam memartabatkan Zapin serta memperluas pemahaman terhadap seni persembahan tradisional Malaysia di peringkat antarabangsa.

Memasuki dekad ketiga penganjurannya, BCAA terus memperkukuh peranannya sebagai platform utama yang mengiktiraf kecemerlangan seni persembahan negara, sambil menggalakkan eksperimen kreatif, kolaborasi dan pembangunan khalayak baharu demi kelestarian industri pada masa hadapan.

Leave a comment