NESCAFÉ Hargai Warga KLIA Melalui Program Khidmat Komuniti Sempena Hari Pekerja

SEPANG, 1 Mei 2026 – Sempena sambutan Hari Pekerja, NESCAFÉ menjalinkan kerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menerusi inisiatif “Ngopi Dulu, Kekal Bersemangat Bersama” sebagai tanda penghargaan kepada para pekerja yang menjadi tulang belakang kelancaran operasi negara.

Kerjasama tersebut mencerminkan komitmen berterusan NESCAFÉ dalam mengiktiraf dedikasi dan pengorbanan warga barisan hadapan, khususnya komuniti kerja lapangan terbang yang memainkan peranan penting dalam memastikan hubungan Malaysia dengan dunia luar terus berjalan lancar.

Inisiatif berkenaan merupakan kesinambungan kepada kempen tahun lalu, “Ngopi Dulu & Kekal Kental Bersama”, sekali gus memperkukuh usaha NESCAFÉ dalam meraikan kisah kehidupan harian rakyat Malaysia. Pada masa sama, program ini menjadi penghormatan terhadap ketahanan, keazaman serta semangat kebersamaan yang terus mendorong kemajuan negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols, semangat kempen Ngopi Dulu diteruskan pada tahun ini dengan memberi fokus kepada komuniti Kuala Lumpur International Airport (KLIA), khususnya mereka yang bertugas tanpa mengenal penat demi memastikan operasi lapangan terbang berjalan lancar setiap hari.

“Operasi lapangan terbang sentiasa bergerak pantas dan penuh cabaran. Oleh itu, Hari Pekerja merupakan platform yang tepat untuk kita meraikan komitmen pekerja serta menyuntik semangat agar terus kuat menghadapi hari yang panjang,” katanya ketika majlis perasmian program tersebut.

Sebagai pintu masuk antarabangsa utama negara, operasi lapangan terbang amat bergantung kepada dedikasi tenaga kerjanya. Memandangkan Hari Pekerja tahun ini jatuh pada hari Jumaat, warga kerja MAHB beroperasi pada kapasiti yang lebih tinggi dan memerlukan tahap kepekaan yang optimum. Keadaan ini menjadikan penghargaan terhadap usaha mereka dalam mengurus ketersambungan negara serta sektor pelancongan semakin bermakna.

Sebagai sebahagian daripada kempen tersebut, NESCAFÉ turut merasmikan Bilik Komuniti yang dinaik taraf di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Ruang itu disediakan khusus untuk kakitangan MAHB berehat, berinteraksi dan menyegarkan diri sebelum meneruskan tugas harian mereka.

Kemudahan berkenaan turut dilengkapi mesin layan diri yang menawarkan pelbagai produk NESCAFÉ serta jenama Nestlé lain seperti MILO®, KitKat® dan MAGGI®, yang sememangnya dekat dengan masyarakat Malaysia.

Sepanjang program berlangsung, lebih 5,000 tin minuman NESCAFÉ diedarkan kepada warga kerja MAHB. Edaran tersebut melibatkan pelbagai pilihan minuman termasuk NESCAFÉ Original, 3x Shot, Latte dan Mocha bagi membantu mereka kekal segar serta bertenaga sepanjang hari.

Suasana sambutan turut dimeriahkan dengan kemunculan istimewa penyanyi terkenal, Black Hanifah, yang menghiburkan komuniti KLIA menerusi persembahan eksklusif.

Inisiatif Hari Pekerja bersama MAHB ini merupakan langkah pertama NESCAFÉ sebagai rakan “recharge” kepada kakitangan KLIA. Syarikat itu turut merancang untuk memperluaskan lebih banyak inisiatif seumpamanya ke lapangan terbang lain dalam masa terdekat bagi memberi manfaat kepada lebih ramai warga kerja.

Leave a comment