Di tengah kesibukan Kuala Lumpur, Serambi Cafe & Restaurant tampil sebagai sebuah restoran yang menggabungkan suasana santai dengan sajian yang berpaksikan citarasa tempatan. Terletak di tengah kawasan Taman Tun Dr Ismail yang sentiasa hidup dengan budaya kafe dan restoran, Serambi memilih pendekatan yang lebih sederhana: tidak terlalu mewah, tetapi cukup selesa untuk pelanggan menikmati hidangan dalam suasana yang tenang dan mesra.

Ruang dalamannya dihiasi dengan sentuhan moden tropika menerusi mural bunga-bungaan pada dinding berwarna biru, dipadankan dengan pencahayaan hangat dan susun atur yang kemas tanpa terasa terlalu formal. Suasananya sesuai untuk pelbagai jenis kunjungan, sama ada makan tengah hari bersama keluarga, pertemuan santai bersama rakan-rakan atau sekadar menikmati secawan kopi pada waktu petang.


Selain ruang makan yang selesa, Serambi turut menawarkan pilihan makan di restoran, bawa pulang dan penghantaran, menjadikannya lebih mudah diakses oleh pelanggan sekitar TTDI dan kawasan berhampiran. Fleksibiliti ini menjadikan Serambi bukan sekadar lokasi makan santai, tetapi juga pilihan praktikal untuk pelanggan yang mahukan hidangan berkualiti tanpa perlu bersesak di restoran lebih komersial.
Namun kekuatan sebenar Serambi tetap terletak pada menunya. Semasa kunjungan kami, beberapa hidangan diperkenalkan bagi mewakili identiti restoran ini yang menggabungkan masakan Melayu tradisional dengan sentuhan moden dan fusion.
Pembuka selera dimulakan dengan Cucur Udang Putih yang rangup, dengan tekstur lembut di bahagian dalam serta rasa manis udang yang masih jelas terasa. Ia ringkas, tetapi cukup membuka selera sebelum hidangan utama tiba.

Bagi kategori hidangan utama, Set Ayam Percik menjadi antara menu yang paling menyerlah. Ayam panggangnya lembut, disalut kuah percik pekat berempah yang cukup seimbang rasa lemak dan manisnya. Dipadankan dengan nasi basmati, acar timun, sambal dan keropok, hidangan ini memberi rasa yang dekat dengan masakan tradisional Melayu tetapi dipersembahkan dengan gaya yang lebih moden dan kemas.

Turut dihidangkan ialah Nasi Lemuni bersama Ayam Berempah Thai. Nasi lemuni sendiri bukan hidangan yang mudah ditemui di restoran bandar. Berasal dari utara Semenanjung Malaysia, nasi ini dimasak menggunakan santan dan daun lemuni yang memberikan aroma herba lembut serta warna sedikit keunguan. Rasanya berlemak tetapi tidak terlalu berat, sementara ayam berempah Thai pula menambah elemen rasa yang lebih aromatik dan sedikit pedas.

Laksa Serambi pula hadir dengan identitinya tersendiri. Menurut pemilik restoran, kuah laksa ini menggunakan resipi khas Serambi sendiri. Kuahnya kaya rasa dengan keseimbangan antara lemak, pedas dan masam yang tidak keterlaluan, menjadikannya sesuai dinikmati pelbagai lapisan pelanggan tanpa kehilangan karakter laksa tempatan.

Dalam kategori pasta, Pasta Bawang Putih Cili Padi bersama Itik Salai menjadi antara menu fusion yang lebih menarik perhatian. Gabungan bawang putih dan cili padi menghasilkan rasa pedas yang membangkitkan selera, manakala itik salai memberi aroma smoky yang melengkapkan keseluruhan hidangan. Sementara itu, stik bersama fetucini berkrim pula tampil lebih mewah dan mengenyangkan, dengan tekstur pasta yang lembut dipadankan bersama potongan stik yang dimasak sempurna.


Bagi kategori Rasa Warisan, Serambi mempertaruhkan hidangan yang lebih dekat dengan selera tempatan seperti Ayam Percik, Gulai Lemak Cili Api Ayam, Terung Berlada, acar timun serta pilihan nasi basmati dan Nasi Serambi. Gulai lemaknya pekat dan harum dengan rasa cili api yang sederhana, manakala terung berlada pula memberi keseimbangan rasa pedas dan manis yang membangkitkan selera makan.

Sebagai penutup, pencuci mulut tradisional seperti Bingka Ubi dan Koci Pulut Hitam melengkapkan pengalaman menikmati sajian di Serambi. Kedua-duanya tampil sederhana tetapi cukup kuat membawa rasa nostalgia kuih tradisional Melayu yang kini semakin jarang ditemui di restoran moden.


Selain menu yang kami cuba sepanjang kunjungan tersebut, Serambi turut menawarkan pelbagai pilihan lain termasuk hidangan makan tengah hari harian, menu pasta, sajian barat, minuman kopi dan pencuci mulut tradisional dengan julat harga yang masih mesra pelanggan bandar. Antara yang menarik perhatian ialah Ayam Masak Kuzi untuk dua orang pada harga RM39.90, manakala hidangan perkongsian seperti Ribeye Roast Beef Sharing Platter 500 gram pula ditawarkan pada harga RM119.90. Untuk menu harian pula, kebanyakan hidangan utama berada sekitar RM15 hingga RM30, menjadikan Serambi sesuai untuk makan santai harian mahupun sesi makan berkumpulan pada hujung minggu.
Apa yang menjadikan Serambi menarik bukan sekadar kepelbagaian menunya, tetapi keupayaannya mengekalkan keseimbangan antara suasana santai, layanan mesra dan citarasa tempatan yang diolah dalam gaya lebih moden. Ia bukan restoran yang cuba terlalu keras untuk kelihatan eksklusif atau tular, sebaliknya sebuah ruang makan yang selesa dengan makanan yang benar-benar menjadi fokus utama.


Serambi Cafe & Restaurant
Lokasi: 127, Jln Aminuddin Baki, Taman Tun Dr Ismail, 60000 Kuala Lumpur.
Buka setiap Selasa – Ahad, 12 tengah hari hingga 10 malam
Hubungi: 011-1099 1606
Facebook Serambi TTDI
Instagram Serambi TTDI
TikTok Serambi TTDI
