Setelah penantian yang cukup mendebarkan, sekuel kepada naskhah tahun 2021 kini kembali menghantui layar perak. Mortal Kombat II garapan pengarah Simon McQuoid bukan sekadar sebuah filem aksi bela diri, malah ia merupakan satu surat cinta kepada para peminat setia francais permainan video ikonik ciptaan Ed Boon dan John Tobias.

Filem ini meneruskan perjuangan pahlawan Earthrealm dalam menghadapi tirani Shao Kahn yang kian menggila. Kehadiran Karl Urban sebagai Johnny Cage ternyata menjadi tunjang utama dalam naskhah ini. Meskipun pada awalnya pemilihan Urban dipandang skeptikal kerana faktor usia, namun karisma dan lakonan beliau berjaya menyatukan dinamika kumpulan pahlawan sedia ada. Beliau memberikan nafas baharu yang cukup kohesif kepada barisan pelakon asal seperti Lewis Tan dan Ludi Lin. Walau bagaimanapun, harus diakui bahawa kelemahan ketara masih terletak pada aspek lakon layar dan pembangunan watak yang agak mendatar. Plotnya terasa sedikit nipis, seolah-olah naratifnya sekadar jambatan untuk menghubungkan satu babak aksi ke satu babak aksi yang lain.

Dari sudut koreografi aksi, Mortal Kombat II berada dalam kelasnya yang tersendiri. Bagi penonton yang mendahagakan aksi terus ke sasaran, filem ini memenuhi kriteria tersebut dengan jayanya. Koreografi pertarungannya sangat mantap dan bertenaga, memaparkan kemahiran luar biasa pahlawan Outworld dan Earthrealm. Terdapat penghormatan tinggi terhadap visual asal permainan video, latar belakang, serta penggunaan kebolehan khas yang sangat memuaskan hati peminat tegar. Keberanian pengarah mengekalkan elemen ngeri yang menjadi identiti asal Mortal Kombat juga wajar dipuji.

Namun, karya ini bukanlah tanpa cela. Penggunaan runut bunyi dilihat agak mengecewakan. Lagu-lagu ikonik yang sepatutnya menaikkan adrenalin penonton tidak digunakan pada saat-saat yang tepat, sekaligus mengurangkan impak emosi dalam sesetengah babak penting. Selain itu, terdapat beberapa kesan visual yang kelihatan kurang kemas, seolah-olah tidak selari dengan skala besar filem ini.
Secara keseluruhannya, Mortal Kombat II adalah sebuah naskhah hiburan yang padat dengan aksi tanpa henti. Walaupun aspek penceritaan dan muzik latar sedikit hambar, kualiti pertarungan dan kehadiran Johnny Cage sudah memadai untuk menjadikan filem ini jauh lebih baik berbanding naskhah pertamanya. Ia adalah sebuah pesta aksi yang jujur bagi peminat yang telah setia sejak tahun 1992.
Markah Keseluruhan: 9/10

