KL Street Arts Festival 2026 Semarakkan Dataran Merdeka Dengan Ledakan Seni Urban dan Budaya Jalanan

KL Street Arts Festival 2026 bakal menghidupkan suasana Jalan Raja, Dataran Merdeka pada 20 Jun 2026 menerusi gabungan seni urban, muzik jalanan dan budaya kreatif dalam sebuah festival komuniti berskala besar. Acara yang berlangsung dari jam 12.00 tengah hari hingga 11.00 malam itu dianjurkan menerusi kolaborasi bersama program KL Street Jam, sekali gus menghimpunkan pelbagai penggiat seni tempatan dalam satu ruang yang meraikan kreativiti kota.

Festival ini akan menampilkan pelbagai pengisian menarik merangkumi seni visual, persembahan muzik dan buskers, persembahan jalanan, booth kraftangan dan kraf kreatif, seminar seni serta aktiviti interaktif berteraskan budaya urban. Kepelbagaian program yang disusun dijangka menarik kehadiran pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat, khususnya pencinta seni dan budaya alternatif tempatan.

Menjelang sesi malam, pentas KL Street Jam pula bakal dimeriahkan dengan persembahan khas daripada beberapa nama yang cukup dekat dengan budaya muzik jalanan tanah air. Antara yang dijadualkan membuat persembahan termasuk Baba Andy, Maman Teacher’s Pet, Aru Peruzza, Muzza’s Velvettones serta persembahan istimewa daripada Artis & Kombo Budaya DBKL.

Selain hiburan pentas, festival ini turut membuka ruang kepada perkongsian ilmu menerusi siri seminar dan sesi interaktif bersama penggiat seni tempatan. Antara panel yang terlibat termasuk Cheb Ali, pengkarya seni khat berasal dari Mesir; Mr Labu, penggiat seni badut senior tanah air; serta Yosh Studio yang akan mengendalikan sesi klinik dan perkongsian berkaitan seni origami. Pelbagai aspek berkaitan seni urban, kreativiti visual dan perkembangan seni bebas tempatan akan diketengahkan sepanjang sesi berlangsung.

Program ini turut mendapat kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang akan mengadakan sesi kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah, khususnya dalam kalangan belia dan komuniti seni. Menerusi kolaborasi bersama Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), sebuah kempen khas bertemakan “Muzik Tanpa Dadah” juga dijangka dilancarkan sebagai usaha mempromosikan gaya hidup sihat melalui medium seni dan muzik.

Festival berkenaan turut disertai hampir 20 pempamer seni dan kraf tempatan yang bakal mempamerkan hasil karya kreatif masing-masing kepada pengunjung sepanjang acara berlangsung.

Penganjuran KL Street Arts Festival 2026 bukan sahaja bertujuan mengangkat bakat penggiat seni jalanan dan komuniti kreatif tempatan, malah menjadi platform penting dalam memperkukuhkan Kuala Lumpur sebagai kota seni yang aktif, progresif dan dekat dengan masyarakat. Dengan latar ikonik Dataran Merdeka serta Bangunan Sultan Abdul Samad, festival ini dijangka menawarkan pengalaman seni urban yang unik dan berimpak kepada pengunjung.

Festival ini juga dilihat sebagai sebahagian daripada usaha menyokong inisiatif “Seniman Kota” yang digerakkan oleh Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), melibatkan penghibur dan pengkarya seni jalanan berpermit di bawah DBKL.

Sokongan daripada Yayasan Hasanah menerusi inisiatif Arts for All Seasons (ArtsFAS) turut menjadi antara pemangkin utama kejayaan festival ini. ArtsFAS ialah platform geran tahunan yang diterajui Yayasan Hasanah di bawah Khazanah Nasional, dengan matlamat memelihara, memulihara dan meraikan seni, budaya serta warisan Malaysia melalui penyediaan dana, ruang persembahan dan peluang ekonomi kepada penggiat seni tempatan.

Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan KL Street Arts Festival 2026 yang terbuka secara percuma kepada semua pengunjung.

Butiran program:

Program: KL Street Jam Kolaborasi KL Street Arts Festival 2026
Tarikh: 20 Jun 2026 (Sabtu)
Masa: 12.00 tengah hari – 11.00 malam
Lokasi: Jalan Raja, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur

Untuk maklumat lanjut:
Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN)
014-717 6276 (Amad)

Leave a comment