Cromok & Barbarik Satukan Tenaga Di Black On White, Tampil Segmen Tribute Khas Buat Kembara

KUALA LUMPUR, 18 Mei 2026 — Selepas sekian lama dinantikan peminat muzik rock dan metal tempatan, dua nama besar dalam landskap muzik keras tanah air, Cromok dan Barbarik, akhirnya bakal berkongsi pentas menerusi konsert Black On White Cromok-Barbarik yang dijadual berlangsung pada 27 Jun ini di IdeaLive Arena.

Menghimpunkan dua kumpulan berpengaruh dengan identiti muzik yang berbeza, konsert anjuran Karl Legacy dengan kerjasama Pentas Barbarik itu dijangka menjadi antara acara muzik rock paling dinanti tahun ini.

Bukan sekadar persembahan biasa, Black On White tampil dengan konsep tersendiri apabila mengangkat elemen penceritaan serta pengalaman konsert yang lebih menyeluruh buat penonton.

Lebih menarik, peminat turut bakal disajikan dengan segmen tribute khas buat kumpulan legenda Kembara menerusi susunan muzik baharu yang lebih segar tanpa menghilangkan roh dan melodi asal karya-karya mereka.

Gitaris Barbarik, Jobranko berkata, idea segmen berkenaan tercetus bagi memberi dimensi berbeza kepada keseluruhan perjalanan konsert di samping menghargai kumpulan yang banyak mempengaruhi mereka sejak usia remaja.

“Saya memang tak suka buat konsert yang terlalu straight forward. Bagi saya, orang beli tiket bukan sekadar mahu tengok band main lagu, tetapi mereka mahukan satu pengalaman.

“Sebelum ini saya pernah berkolaborasi dengan beberapa kumpulan lain, tetapi bersama Cromok cabarannya lebih besar kerana karakter vokal Mus dan Sam sangat berbeza. Jadi kami fikir perlu ada sesuatu yang boleh membuatkan peminat lebih teruja untuk hadir menyaksikan konsert ini,” katanya.

Tambah Joe, kedua-dua kumpulan sepakat memilih lagu-lagu Kembara kerana karya mereka bersifat malar segar, dekat dengan jiwa selain sarat dengan mesej dan nilai kehidupan.

“Kami membesar dengan lagu-lagu Kembara. Banyak karya mereka sebenarnya underrated walaupun mempunyai lirik dan mesej yang sangat kuat. Jadi kami akan susun semula lagu-lagu ini supaya lebih segar dan sesuai dengan energi persembahan Black On White.

“Paling menarik, segmen ini akan menyaksikan Barbarik dan Cromok bergabung dalam beberapa persembahan khas sebagai penghormatan kepada Kembara,” katanya.

Sementara itu, Karl Cromok menyifatkan segmen berkenaan sebagai sebuah perjalanan nostalgia yang diberikan nafas baharu mengikut identiti muzik kedua-dua kumpulan.

“Kembara adalah antara muzik yang kami dengar ketika zaman remaja. Jadi segmen ini ibarat mengimbau kembali kenangan lama, tetapi diberikan sentuhan rock yang lebih moden dan bertenaga,” katanya.

Selain segmen tribute Kembara, peminat turut bakal menyaksikan kolaborasi eksklusif antara Cromok dan Barbarik, termasuk persembahan single baharu daripada kedua-dua kumpulan yang akan dipersembahkan secara langsung buat pertama kali.

Dalam pada itu, Karl berkata, konsert berkenaan turut tampil dengan kelainan menerusi konsep No Noise Digital Stage yang menggunakan teknologi persembahan digital sepenuhnya.

“Kami menggunakan pendekatan persembahan 100 peratus digital tanpa penggunaan amplifier gitar atau dram akustik di atas pentas. Semua audio dipantau menggunakan sistem digital dan in-ear monitor bagi menghasilkan bunyi yang lebih bersih serta pengalaman audio yang lebih berkualiti kepada penonton,” katanya.

Barbarik bagaimanapun masih mengekalkan pendekatan persembahan konvensional mengikut keselesaan dan identiti kumpulan itu sendiri menerusi penggunaan monitor wedges serta tetapan pentas yang lebih organik, namun tetap dibantu penggunaan mixer digital.

Perbezaan pendekatan antara Cromok dan Barbarik itu sekali gus menjadi antara keunikan utama Black On White yang menghimpunkan dua identiti muzik berbeza dalam sebuah persembahan berskala besar.

Konsert Black On White Cromok-Barbarik menawarkan beberapa kategori tiket dengan harga bermula RM175 bagi CAT 1, RM195 (CAT 2), RM250 (CAT 3), RM350 (CAT 4), RM480 (CAT 5) dan RM998 bagi pakej VIP (CAT 6).

Tiket boleh didapati menerusi MyArteez bagi kategori CAT 1, CAT 2 dan CAT 6, manakala Fantopia menawarkan tiket bagi kategori CAT 3, CAT 4 dan CAT 5.

Konsert Black On White Cromok-Barbarik turut mendapat sokongan daripada Kementerian Komunikasi menerusi MyCreative Ventures melalui Dana Kandungan Kreatif Industri Muzik dan Dana Persembahan Muzik.

“Kami daripada Karl Legacy juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures atas sokongan berterusan kerajaan terhadap pembangunan industri kreatif menerusi Dana Kandungan Kreatif – Industri Muzik dan Dana Persembahan Muzik.

“Selain itu, kami turut merakamkan penghargaan kepada The Heritage Club dan Royale Chulan Kuala Lumpur atas kerjasama serta penyediaan venue bagi sidang media konsert Black On White Cromok-Barbarik,” ujar Karl.

Sempena penganjuran konsert berkenaan, Royale Chulan Damansara turut menawarkan pakej penginapan eksklusif kepada peminat dengan harga bermula RM238 nett termasuk sarapan, baucar makanan serta perkhidmatan shuttle percuma dari hotel ke lokasi konsert.

Leave a comment