KUALA LUMPUR, 20 Mei – Konsert Indiescovery 2026 bakal menjadi antara acara muzik alternatif paling dinantikan tahun ini apabila menghimpunkan empat nama besar dalam arena indie tempatan, iaitu Butterfingers, Bunkface, Bittersweet dan Masdo di Zepp Kuala Lumpur pada 18 Julai depan.
Dianjurkan oleh RR Entertainment dengan sokongan Kementerian Komunikasi menerusi MyCreative Ventures, konsert tersebut bukan sekadar persembahan hiburan, sebaliknya platform untuk meraikan evolusi muzik indie Malaysia yang telah lama menjadi sebahagian penting daripada landskap muzik tempatan.

Penganjuran acara itu turut membawa misi memperkukuh apresiasi terhadap muzik alternatif tempatan serta mengiktiraf sumbangan penggiat seni independen yang terus berkarya dan mempertahankan identiti muzik mereka merentasi generasi.
Menambah kelainan, kumpulan muda yang sedang meningkat naik, Noise, dipilih sebagai pembuka tirai konsert. Penyertaan mereka mencerminkan usaha penganjur dalam memberi ruang kepada bakat baharu sambil merapatkan jurang antara generasi pelopor dan pelapis muzik indie negara.


Setiap kumpulan yang terlibat membawa identiti tersendiri. Butterfingers bakal tampil dengan persembahan istimewa bersempena album ikonik mereka, Transcendence X Butter Worth Pushful, manakala Bunkface dijangka menghangatkan suasana menerusi deretan lagu popular dan persembahan bertenaga.
Bittersweet pula akan membawa nuansa brit-pop dan elemen nostalgia yang menjadi identiti mereka, sementara Masdo tampil dengan gabungan elemen retro dan moden yang berjaya menarik perhatian peminat pelbagai lapisan usia.

Gabungan artis berpengaruh bersama kemunculan Noise menjadikan Konsert Indiescovery 2026 sebuah acara yang merentasi generasi, menghimpunkan peminat lama dan baharu dalam satu malam yang sarat dengan nostalgia, tenaga dan penghargaan terhadap muzik tempatan.
Sambutan terhadap konsert itu juga amat menggalakkan apabila kategori CAT 3 Seating dilaporkan hampir habis terjual, sekali gus membuktikan keterujaan peminat untuk menyaksikan pertemuan empat gergasi muzik indie dalam satu pentas.

Konsert Indiescovery 2026 akan berlangsung pada pukul 8 malam di Zepp Kuala Lumpur dengan pilihan tiket merangkumi CAT 1 Standing, CAT 2 Standing, CAT 3 Seating, CAT 4 Seating dan VIP Box. Tiket boleh didapati menerusi platform Ticket2U.
