KUALA LUMPUR, 2 November 2026 – Penantian tujuh tahun akhirnya terubat apabila 8,000 peminat
membanjiri Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil untuk menyaksikan kepulangan penyanyi dan komposer
antarabangsa, Jason Mraz menerusi Jason Mraz Asia Tour 2026 Live in Kuala Lumpur yang telah
berlangsung pada 31 Oktober lalu.


Dipersembahkan oleh Prudential Malaysia dan dianjurkan Zues Event, konsert berkenaan
menampilkan 20 lagu yang membawa peminat menyelami pelbagai karya Jason Mraz, daripada
percintaan dan persahabatan kepada mesej positif tentang kehidupan.
Beliau membuktikan kekuatan seorang penghibur terletak pada kejujuran vokal, kemahiran bermain
gitar dan keupayaan menjalin hubungan dengan penonton.

Membuka tirai dengan You and I Both, Jason Mraz menyapa penonton menerusi ucapan, “Apa khabar,
Malaysia? It’s really good to be back,” sebelum meneruskan persembahan dengan Long Drive, Livin’ in
the Moment dan Let’s See What the Night Might Do.
Jason Mraz turut mempersembahkan beberapa lagu lain antaranya Make It Mine, I Feel Like Sweating,
Details in the Fabric, Remedy, 3 Things, Love Someone, Unfold, Best Friend, Beautiful Mess, Song for a
Friend, 93 Million Miles, Have It All dan Lucky.
Menariknya, beliau tidak lokek mengucapkan “terima kasih” dalam bahasa Malaysia setiap kali
berinteraksi dengan penonton. Usaha itu mengundang sorakan dan senyuman, sekali gus
memperlihatkan penghargaan tulusnya terhadap peminat tempatan.


Dalam perkongsian bersama penonton, Jason Mraz mengakui kebanyakan lagu ciptaannya berkisar
tentang cinta, perkara yang bermain dalam fikirannya serta mesej positif. Walaupun sering
menggunakan rangkaian kord yang sama, setiap karya tetap mempunyai identiti tersendiri menerusi
melodi dan penceritaan berbeza.
Dari sudut teknikal, sistem audio yang seimbang dan mesra telinga membolehkan kejelasan vokal
Jason Mraz, petikan gitar serta instrumen pengiring dinikmati dengan baik.


Menjelang penghujung konsert, I Won’t Give Up menjadi antara kemuncak apabila ribuan penonton
menyanyi bersama, mencipta suasana penuh emosi. Lagu yang membawa mesej ketabahan dan kesetiaan itu memperlihatkan hubungan istimewa antara Jason dengan peminatnya.
Persembahan kemudian diteruskan dengan No Plans sebelum Yours menutup rangkaian 20 lagu malam berkenaan. Dengan gitar, vokal dan karya yang dekat dengan kehidupan, Jason Mraz berjaya
menghidupkan semula nostalgia serta mencipta kenangan baharu buat 8,000 peminat.
Pengarah Zues Event, Jeffery Chin berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan sambutan dan sokongan luar biasa yang diterima, selain menghargai kerjasama penaja, rakan strategik, artis, kru serta seluruh pasukan produksi.
Katanya, kejayaan itu menjadi permulaan kepada lebih banyak penganjuran persembahan menarik
pada masa akan datang. Nantikan persembahan berkualiti dari Zues Event di masa hadapan melalui https://zuesevent.com/ dan FB rasmi https://www.facebook.com/zuesevent/

