Kuala Cola Perkukuh Rangkaian Pengedaran, Sasar Pasaran Global

SELANGOR, 11 Jun – Jenama minuman berkarbonat tempatan, Kuala Cola, melakar satu lagi pencapaian penting apabila memeterai Memorandum Rakan Strategik Pengedaran bersama DMG Dynamic Manufacturing Global (DMG) dalam usaha memperkukuhkan rangkaian pengedaran domestik dan antarabangsa serta memperluas kehadirannya ke pasaran global.

Majlis pemeteraian yang berlangsung di Kilang DMG, Mara Halal Industrial Park, menghimpunkan pemain industri, usahawan, pengedar, wakil media dan rakan strategik yang berkongsi aspirasi untuk mengangkat Kuala Cola sebagai jenama minuman ringan Malaysia yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengerusi DMG dan pemilik syarikat, Datuk Dr Hassan Saad, Ketua Pegawai Eksekutif DMG dan pemilik syarikat, Mohamad Sis Ahmad, Pengarah Pembangunan Perniagaan Neatness Group, Dato’ Hjh Suzana Zakaria, Pengarah Neatness Group, Dr. Sadona Tham, serta Dr. Ali Lata.

Kerjasama strategik tersebut dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuhkan kedudukan Kuala Cola dalam industri minuman ringan yang semakin kompetitif, di samping membuka peluang baharu untuk pengembangan pasaran pada skala yang lebih luas.

Menurut pihak pengurusan Kuala Cola, memorandum berkenaan bukan sahaja bertujuan memperluaskan jaringan pengedaran produk, malah menjadi platform utama dalam merealisasikan matlamat untuk menjadikan Kuala Cola sebagai jenama tempatan bertaraf dunia.

“Kami percaya bahawa jenama Malaysia mempunyai potensi untuk berdiri sebaris dengan jenama antarabangsa. Kerjasama ini akan memperkukuhkan akses pasaran serta mempercepat pertumbuhan Kuala Cola di dalam dan luar negara,” katanya.

Pasaran minuman Malaysia yang dianggarkan bernilai melebihi RM32 bilion setahun menawarkan peluang yang besar kepada jenama tempatan yang memiliki produk berkualiti, strategi pemasaran yang mantap serta jaringan pengedaran yang berkesan.

Bagi memenuhi keperluan pengguna masa kini yang semakin mementingkan kesihatan, Kuala Cola tampil dengan formulasi Zero Sugar dan Zero Kalori. Produk tersebut turut menawarkan kelainan menerusi gabungan rasa premium dengan sentuhan garam Himalaya yang menjadi identiti tersendiri jenama itu.

Seiring dengan perubahan corak permintaan pengguna yang semakin terbuka kepada alternatif baharu, Kuala Cola optimis bahawa produk tempatan mampu menembusi pasaran yang selama ini dikuasai oleh jenama minuman antarabangsa.

Melalui kerjasama yang dimeterai, syarikat menyasarkan peningkatan ketara dalam rangkaian pengedaran, pengukuhan kedudukan jenama di pasaran tempatan serta pengembangan yang lebih agresif ke pasaran antarabangsa dalam beberapa tahun akan datang.

Pihak syarikat turut mengajak pengedar, usahawan dan rakan strategik untuk bersama-sama memainkan peranan sebagai duta jenama dalam memperkenalkan Kuala Cola kepada lebih ramai pengguna serta meneroka peluang pasaran baharu di dalam dan luar negara.

Dengan sokongan rangkaian strategik yang semakin kukuh, Kuala Cola yakin mampu muncul sebagai antara jenama minuman ringan tempatan yang berpengaruh, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

Leave a comment