Ada album yang sekadar menjadi koleksi, ada yang sekadar kenangan. Namun, buat 1.2 Milligrams, ia adalah sebuah karya yang membesar bersama kehidupan pendengarnya.
Dilancarkan pada tahun 1996 di tengah kehangatan era grunge, punk, dan ledakan muzik alternatif, Butterfingers membuktikan bahawa di sebalik dentuman distortion yang padat, keutamaan mereka sentiasa pada melodi, mencipta lagu-lagu yang kekal relevan melangkaui zaman.


Kini, selepas tiga dekad, Butterfingers mengumumkan Konsert Ulang Tahun Ke-30 1.2 Milligrams yang bakal dipersembahkan menerusi dua showcase istimewa di Odeon KL Event Hall.

Maklumat Persembahan & Tiket
- Malam Pertama: Sabtu, 8 Ogos 2026 (Showcase Malam)
- Malam Kedua: Ahad, 9 Ogos 2026 (Showcase Petang – Intim)
- Lokasi: Odeon KL Event Hall
- Pautan ticket: https://butterfingers12mg30.com/


Menerusi dua persembahan ini, Butterfingers bukan sahaja bakal memainkan keseluruhan album 1.2 Milligrams secara langsung, malah bakal membawakan beberapa rakaman demo yang tidak pernah dipersembahkan di atas pentas sebelum ini.
Kembalinya Spirit Gig Mentah & Nostalgia KL
Selepas kejayaan produksi berskala besar seperti Transcendence 20, Malayneum 23, dan Peristiwa Angkasa Jio, Butterfingers memilih untuk kembali ke ruang yang lebih dekat dengan akar umbi mereka.
Pemilihan Odeon KL—yang terletak berhampiran Kompleks Pertama, pusat tumpuan anak muda era 90-an berburu kaset dan cd alternatif—membawa nilai sentimental yang mendalam. Ia bukan sekadar memilih ruang persembahan, tetapi menggamit semula memori kawasan yang pernah membentuk lanskap subkultur rock tanah air.

“Tiga puluh tahun hanya datang sekali. Kami mahu dua showcase ini terasa seperti kembali ke era 90-an. Bukan kerana kami hidup dalam nostalgia, tetapi kerana di situlah semuanya bermula. Bunyi yang kuat. Lagu yang jujur. Orang ramai yang menyanyi bersama.” — Emmett
Dwi-showcase ini direka khas untuk memberikan ruang yang rapat, jujur, dan tanpa jarak—sama ada buat penyokong setia yang bersama mereka sejak 1996 mahupun generasi baharu yang baru menemui warisan muzik mereka.
