KUALA LUMPUR, 13 Julai 2026 – Selepas mencipta kejayaan menerusi siri asalnya, BRU kini kembali dengan naskhah baharu berjudul BRU: Masin & Manis yang bakal menemui penonton dalam format drama vertikal bermula 22 Julai ini di Tonton.
Kejayaan BRU sebelum ini bukan sahaja meraih lebih 244 juta capaian dan 14 juta tontonan, malah turut dinobatkan sebagai Pemenang Kebangsaan bagi kategori Best Original Production by a Streamer (Fiction) di Asian Academy Creative Awards (AACA) 2025. Pencapaian itu menjadi pemangkin kepada penghasilan kesinambungan yang membawa penonton meneroka sisi baharu dunia kopi dan perjalanan kehidupan seorang barista.

BRU: Masin & Manis mengisahkan Mohsin lakonan Imranul Effendy, seorang barista berbakat yang terpaksa berdepan cabaran besar apabila gangguan keresahan memusnahkan impiannya untuk menjuarai pertandingan barista berprestij.
Dalam usaha membina semula keyakinan dirinya, Mohsin memilih untuk berhijrah ke sebuah kampung. Di sana, pertemuannya dengan Manis, yang dilakonkan Ellyza Azizi, membuka lembaran baharu dalam hidupnya serta menghidupkan kembali minatnya terhadap dunia kopi. Pengalaman tersebut turut mencetuskan penghasilan Salted Series, yang menjadi antara elemen penting dalam perkembangan jalan cerita drama ini.
Menggabungkan elemen drama, komedi dan kisah kehidupan seharian, BRU: Masin & Manis diterbitkan dalam 45 episod dengan durasi sekitar dua hingga tiga minit bagi setiap episod. Episod baharu akan disiarkan setiap hari Rabu secara eksklusif di platform penstriman Tonton.
Selain Imranul Effendy dan Ellyza Azizi sebagai teraju utama, siri ini turut menampilkan kemunculan istimewa Siti Hariesa yang kembali membawa watak daripada musim pertama BRU sebagai cameo. Kali ini, beliau memegang peranan sebagai majikan kepada Mohsin, sekali gus menghubungkan kesinambungan dunia BRU.

Bersempena pelancaran siri tersebut, Tonton menjalinkan kerjasama dengan HWC COFFEE bagi membawa pengalaman BRU: Masin & Manis ke dunia nyata menerusi pengenalan tiga minuman edisi terhad yang diinspirasikan daripada siri itu.
Bermula 6 Julai 2026, pelanggan boleh menikmati Salted Spanish Latte, Salted Hazelnut Cocoa Latte dan Salted Matcha Latte di semua cawangan HWC COFFEE yang mengambil bahagian.
Menurut penerbit BRU: Masin & Manis, Nik Amir Mustapha, kopi sejak awal lagi bukan sekadar menjadi elemen visual dalam siri BRU, sebaliknya berfungsi sebagai medium yang menghubungkan setiap watak dan perjalanan mereka.
“Menerusi kolaborasi bersama HWC COFFEE, kami mahu membawa pengalaman itu keluar daripada skrin supaya penonton bukan sahaja dapat mengikuti kisahnya, malah turut merasai sendiri inspirasi di sebalik Salted Series yang menjadi sebahagian daripada penceritaan BRU: Masin & Manis.
“Saya berharap kerjasama ini dapat membuka ruang yang lebih luas antara dunia penceritaan dan pengalaman sebenar penonton, sekali gus menjadikan setiap elemen dalam drama ini lebih dekat, hidup dan boleh dirasai di luar skrin,” katanya.
BRU: Masin & Manis boleh ditonton secara eksklusif di Tonton bermula 22 Julai 2026 dengan episod baharu setiap hari Rabu, manakala tiga minuman edisi khas HWC COFFEE sudah mula ditawarkan sejak 6 Julai 2026 di cawangan yang mengambil bahagian.
