Happy Potato Tembusi Empat Pasaran Baru Dalam Tempoh Enam Bulan

KUALA LUMPUR, 20 Julai 2026 – Jenama kentang goreng shaker tempatan, Happy Potato, terus mengembangkan perniagaannya apabila berjaya memasuki empat pasaran baharu dalam tempoh enam bulan, sekali gus kini beroperasi di lima negara dengan 126 cawangan.

Rangkaian itu merangkumi 117 cawangan di Malaysia, selain tiga di Bangladesh serta masing-masing dua di Indonesia, China dan Kemboja.

Diasaskan pada 2019 di Suria Sabah, Kota Kinabalu, Happy Potato mula berkembang ke Semenanjung Malaysia pada 2023 sebelum memperluaskan rangkaian francais ke luar negara bermula Februari tahun ini dengan pembukaan cawangan di Bangladesh dan Indonesia. China menyusul pada Mei, manakala Kemboja menjadi pasaran terbaharu pada Julai.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap pengasas bersama, Edmund Lim, berkata kejayaan itu didorong oleh persediaan rapi dari segi model francais, sistem operasi dan kerjasama bersama rakan niaga tempatan bagi memastikan kualiti produk dan perkhidmatan kekal konsisten di setiap pasaran.

Beliau berkata, syarikat kini menyasarkan 200 cawangan di Malaysia menjelang 2028, selain merancang memasuki tiga hingga lima lagi negara di Asia.

Sempena ulang tahun ketujuh jenama itu, Happy Potato turut bekerjasama dengan McCain Foods menganjurkan promosi “Unlimited Free Flow Shaker Fries” bersempena Hari Kentang Goreng Sedunia pada 13 Julai lalu.

Selain itu, kempen “Happy Shake” kini berlangsung di semua cawangan Happy Potato di Malaysia sehingga 8 September, menawarkan pengalaman pelanggan menggoncang sendiri kentang goreng shaker mereka, di samping peluang memenangi pelbagai hadiah menerusi cabutan bertuah dan pertandingan media sosial.

Leave a comment