KUALA LUMPUR, 8 Ogos 2026 – Kepelbagaian khazanah kulinari Indonesia kini boleh dinikmati dalam satu lokasi menerusi pembukaan AVOCake Pukis & Delight, sebuah restoran baharu berkonsepkan santapan keluarga yang menghimpunkan sajian ikonik dan hidangan popular dari pelbagai pelusuk Republik Indonesia.



Menampilkan konsep “rasa Indonesia, pengalaman istimewa”, restoran yang terletak di Sentul, Kuala Lumpur ini menawarkan pengalaman gastronomi yang bukan sahaja berteraskan makanan, malah turut mengetengahkan budaya dan kepelbagaian tradisi kulinari Nusantara.
Antara sajian yang menjadi pilihan termasuk Iga Bakar, Nasi Iga Goreng, Sate Kambing Madura, Nasi Bakar Ikan, Nasi Bakar Ayam, Sempol Ayam, Sempol Daging, Set Sup Janda, Sup Konro, Mi Ayam Cireng, Cilok, Tempe Mendoan, Batagor, Tauhu Goreng Crispy, Pukis, Bakwan dan Somai. Pilihan manisan serta minuman berasaskan avokado turut ditawarkan sebagai antara tarikan istimewa restoran berkenaan.










AVOCake Pukis & Delight diasaskan oleh Dr. Shamsiah Yaakob dan Mohd. Azri Ahmad Kamil selaku pengarah bersama. Majlis perasmian dan pelancarannya turut dimeriahkan dengan kehadiran beberapa rakan selebriti tempatan, antaranya Ellie Suriaty, Saiful Apek, Raja Azmi dan Rosnan Rahman.
Restoran tersebut turut mendapat sokongan selebriti dan ahli politik Indonesia, Ratieh Sanggarwaty Zen, yang juga antara pelabur dan pembiaya bersama beberapa rakan pelabur lain, iaitu Andi Nilawati Bau Rifai, Soraya Roshanty Yoesoef serta Eny Martuti Kamidjo.
Bagi Dr. Shamsiah, penubuhan AVOCake Pukis & Delight berakar daripada kecintaannya terhadap kekayaan warisan makanan Indonesia. Pengalaman menetap selama tujuh tahun di Indonesia turut membuka ruang untuk beliau mendalami sendiri kepelbagaian sajian dari negara berkenaan.


Sepanjang tempoh tersebut, beliau berkhidmat sebagai pensyarah di Universitas Diponegoro, Semarang, selain mempunyai pengalaman bersama beberapa syarikat swasta di Indonesia. Dalam tempoh itu juga, beliau mengambil kesempatan mempelajari kaedah penyediaan pelbagai makanan tempatan.
“Indonesia mempunyai khazanah kulinari yang sangat luas dan setiap daerah mempunyai keistimewaan tersendiri. Melalui AVOCake Pukis & Delight, kami mahu membawa hidangan yang dekat dengan jiwa masyarakat Indonesia untuk dinikmati pelanggan di Malaysia,” katanya.
Minat mendalam terhadap dunia masakan akhirnya mendorong Dr. Shamsiah menjadikan pengalaman tersebut sebagai asas kepada sebuah perniagaan makanan.
“Kebetulan saya memang suka memasak. Jadi, sepanjang berada di Indonesia, saya mengambil peluang untuk mempelajari cara menyediakan pelbagai jenis makanan tempatan. Pada tahun 2025, saya terfikir, mengapa tidak saya buka perniagaan makanan dan membawa cita rasa Indonesia ke Malaysia? Pada masa yang sama, saya juga mempunyai impian untuk suatu hari nanti membawa makanan Malaysia pula ke Indonesia,” katanya.
Langkah pertama merealisasikan impian tersebut bermula dengan pembukaan sebuah outlet kecil AVOCake Pukis & Delight di UTC Ampangan, Seremban. Sambutan menggalakkan daripada pelanggan kemudiannya mendorong beliau mengembangkan perniagaan dengan membuka sebuah lagi restoran di kawasan Sikamat, Seremban pada penghujung Disember tahun lalu.
“Saya sendiri tidak menyangka ia mendapat sambutan yang begitu baik. Sambutan tersebut mendorong saya untuk membuka sebuah lagi restoran di kawasan Sikamat, Seremban pada penghujung Disember tahun lalu,” katanya.

Pembukaan cawangan di Kuala Lumpur pula tercetus daripada kunjungan Ratieh Sanggarwaty Zen, Presiden Komunitas Ibu Cerdas Indonesia (KICI), bersama kumpulannya ke restoran AVOCake Pukis & Delight di Sikamat.
Menurut Dr. Shamsiah, Ratieh ketika itu bertanyakan mengapa beliau tidak membuka restoran di Kuala Lumpur. Pertemuan tersebut akhirnya membawa kepada kerjasama antara kedua-dua pihak bersama beberapa rakan pelabur dari Indonesia untuk merealisasikan penubuhan restoran berkenaan di ibu negara.
Sementara itu, Mohd. Azri Ahmad Kamil berkata, pemilihan menu dilakukan dengan teliti bagi memastikan pelanggan bukan sahaja dapat menikmati hidangan yang popular di Indonesia, malah berpeluang mengenali sajian yang mempunyai keunikan tersendiri dalam perkembangan landskap kulinari semasa.
“Kami melihat perkembangan makanan Indonesia yang semakin mendapat perhatian di rantau ini. Banyak hidangan dari Indonesia menjadi viral kerana keunikan rasa, persembahan dan kisah di sebalik makanan tersebut. Kami mahu membawa pengalaman itu ke Sentul untuk dinikmati bersama pelanggan,” katanya.
Selain menjadi lokasi menikmati hidangan Indonesia, AVOCake Pukis & Delight turut mengangkat konsep restoran sebagai ruang yang meraikan budaya, komuniti dan pengalaman gastronomi.
Dengan kepelbagaian menu yang merentas daerah dan tradisi, restoran ini berhasrat menjadi antara destinasi pilihan pencinta makanan di Kuala Lumpur yang ingin meneroka kekayaan cita rasa Indonesia tanpa perlu merentasi sempadan.
